Covid-19: Individu di Johor ingkar HSO bakal diheret ke mahkamah

Dr Noor Hisham pada sidang media situasi semasa mengenai jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media situasi semasa mengenai jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang individu di Johor bakal diheret ke mahkamah untuk proses pendakwaan selepas didapati ingkar terhadap Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengesan perbuatan itu selepas pemeriksaan dilakukan polis.

"Pemeriksaan di rumahnya mendapati dia tiada di situ dan polis telah menangkapnya.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendakwanya di mahkamah," katanya pada sidang media perkembangan terkini koronavirus (Covid-19 )di kementeriannya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditanya mengenai kes wanita yang memakai wrist band kuarantin yang didapati sedang makan di sebuah kedai di Perak.

Katanya, KKM masih mengesan wanita terbabit.

"Kes ini memang betul, dia pakai wrist band tetapi keluar di tempat awam dia dikesan oleh orang ramai yang ambil gambar dan hantar kepada kita.

"Kita jalankan penyiasatan untuk mengesan individu berkenaan yang melanggar peraturan kuarantin di rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, individu yang berada di bawah HSO hendaklah memakai wrist band tersebut sehingga tamat tempoh kuarantin 14 hari.

"Jika didapati tidak memakainya, denda akan dikenakan. Itu tindakan kita," katanya.

Bagaimanapun katanya, masalah individu ingkar HSO akan selesai selepas diwajibkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin semula bermula Jumaat ini.

"Individu masih kuarantin di rumah, kekal kuarantin di rumah namun rakyat pulang dari luar negara atau sesiapa sahaja memasuki negara ini akan dikuarantin wajib," katanya.

Sementara itu, katanya, KKM menyerahkan kepada polis untuk menggunakan kepakaran bagi mengesan 63 individu ingkar saringan kedua Covid-19 pada hari ke-13 dalam tempoh kuarantin.

"KKM bekerjasama dengan polis dan mereka akan dikesan dengan menggunakan kepakaran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!