Tempoh seminggu baiki laluan mendap di Jalan Klang - Banting
KLANG - Kerja pembaikan struktur tanah dan laluan di Jalan Klang - Banting yang mendap dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) semalam akan mengambil masa seminggu.
Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya memohon maaf atas kesulitan dihadapi penduduk Kampung Johan Setia dan pengguna lalu lintas berhampiran berikutan kejadian tidak diingini tersebut.
Menurutnya, kejadian pada jam 3 petang semalam itu turut menyebabkan jentera di lokasi terperosok ke dalam tanah dengan kedalaman 4.5 meter selain gangguan bekalan air kepada 14,000 pengguna sekitar berikutan paip pecah.
“Jalan mendap mungkin disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan tanah gambut di lokasi terjejas menjadi lembut, selain tekanan daripada mesin serta jentera dibawa ke lokasi bagi kerja-kerja pembinaan LRT.
“Insiden ini memberi kesan kepada pengguna lalu lintas dan saya diberitahu penduduk di kawasan sekitar turut terjejas berikutan gangguan bekalan air,” katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi itu hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerja pembaikan paip pecah dijangka siap 6 petang esok
Tajuddin berkata, laluan yang terjejas adalah di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun pihaknya akan mengambil tanggungjawab melakukan kerja pembaikan kerosakan jalan yang berlaku.
“Pihak kontraktor iaitu MRCB George Kent Sdn Bhd sudah mengambil tindakan pantas bagi memastikan keadaan dapat dibaiki dan dipulih semula supaya trafik boleh bergerak seperti biasa.
“Kerja penyiasatan komprehensif juga akan dilakukan di kawasan sekeliling bagi memastikan tanah di sini selamat untuk projek diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, insiden berkenaan tidak akan melewatkan projek pembinaan LRT3 yang dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua lorong di Jalan Klang - Banting berhampiran lampu isyarat Johan Setia di sini mendap dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan LRT3 di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata kejadian pada jam 3 petang semalam berlaku ketika pekerja projek sedang melakukan kerja menanam cerucuk di kawasan tanah yang tidak rata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!