Lelaki hilang isteri toreh kepala anggota polis

Lokasi kejadian pergelutan di mana anggota polis diserang sehingga menyebabkan kecederaan.
Lokasi kejadian pergelutan di mana anggota polis diserang sehingga menyebabkan kecederaan.
A
A
A

KULIM - Seorang Lans Koperal menerima lima jahitan di kepala akibat diserang seorang lelaki yang pada awalnya berhasrat membuat laporan mengenai kehilangan isterinya, dengan menggunakan pisau dalam kejadian di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, anggota berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan akibat terkena tiga torehan di kepala selepas diserang suspek, 42, yang berhasrat membuat laporan polis namun bertindak agresif susulan semakan identiti pengenalan dirinya mendapati dia sebenarnya sedang dikehendaki polis.

"Suspek datang untuk membuat laporan polis kerana isterinya tidak pulang sejak 12 Julai lalu.

"Bagaimanapun, ketika suspek hendak membuat laporan, anggota di kaunter aduan mendapati kad pengenalan suspek merupakan orang dikehendaki polis berkaitan kes ugutan jenayah bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dari Taiping, Perak.

"Suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau lipat dari poket seluarnya sebelum berlaku pergelutan," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, pada 12 Julai lalu, isteri suspek membuat laporan polis di Balai Polis Kemunting dengan mendakwa suaminya mengugut menggunakan kapak sebelum suspek melarikan diri.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Julai depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!