KPM, KPT digesa nyatakan hala tuju baharu sistem pendidikan
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa menyatakan dengan jelas tentang hala tuju baharu sistem pendidikan negara ini.
Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, ia kerana Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu amat jelas menekankan tentang perubahan sistem pendidikan negara.
"Kita sedia maklum dunia berubah dari segenap segi dan penekanan terhadap isu pendidikan yang ditekankan Seri Paduka Baginda harus diangkat dan diberikan tumpuan.
"Realitinya lima bulan (Perikatan Nasional atau PN) memerintah kita belum lagi mendengar apa-apa polisi baharu dari KPM mahupun KPT," katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengambil keputusan menggabungkan dua kementerian itu di bawah satu bumbung setelah melihat perlunya kesinambungan dalam perubahan berskala besar dalam sistem pendidikan negara.
"Saya bagi contoh salah satu perkara penting yang kita berjaya laksanakan ialah dasar 'single window single offer' iaitu penyelarasan menyeluruh terhadap dasar tawaran-tawaran yg dikemukakan kepada pelajar-pelajar Tingkatan Lima.
"Polisi 'single window single offer' ini antara lain akan menyelesaikan beberapa isu pokok antaranya tawaran bertindih yang merugikan banyak pihak sekian lama.
"Tahun lalu sahaja seperti mana tahun sebelumnya, lebih kurang 10,000 tempat di institusi pengajian tinggi tidak diisi berikutan ramai pemohon menerima tawaran bertindih," katanya.
Menurut beliau, situasi itu sangat merugikan kerana pada masa sama terdapat pemohon yang langsung tidak menerima tawaran.
Tegasnya, polisi 'single window single offer' itu adalah satu dari puluhan contoh mengapa penyelarasan antara KPM dan KPT boleh dilakukan dengan segera dan dengan berkesan apabila kedua-duanya duduk sebumbung.
"Demikian juga halnya apabila kerajaan sebelum ini telah melancarkan tabung penyelenggaraan sekolah dan institut pendidikan tinggi awam sebagai platform kepada rakyat untuk menyumbang demi menyelenggara kemudahan institusi pendidikan," katanya.
Tambah Maszlee, ia bertepatan dengan gagasan yang dibawa kementerian sebelum ini iaitu sekolah untuk komuniti dan universiti untuk masyarakat.
"Selain itu antara kepentingan penggabungan kedua-dua kementerian ini untuk merealisasikan data raya KPM yang telah diinisiatifkan semenjak 2019.
"Ia menghimpunkan data para pelajar dari sekolah rendah sehingga ke universiti untuk membantu para pelajar memilih kursus yg sesuai untuk mereka di institusi pengajian tinggi dan juga bidang yang mereka pilih di menengah atas.
"Seterusnya ia juga untuk memilih kerjaya yang selari dengan kecenderungan atau kemampuan mereka sedari awal persekolahan lagi," katanya.
Menurutnya, itu semua boleh dilakukan di zaman ini dengan bantuan kepandaian buatan (AI) demi mengelakkan salah padanan atau salah penempatan.
"Projek ini akan membawa sistem pendidikan kita tahap yang baharu serta berteraskan Revolusi Industri (IR) 4.0 selari dengan hasrat Seri Paduka Baginda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!