Kes conteng mural: Ambil tindakan keras pelaku biadab

Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pelaku yang menconteng mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini.

Pakar sosial yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, hukuman yang tegas dan keras kepada pelaku adalah sebagai pengajaran kepada mereka dan pihak lain supaya kejadian yang sama tidak berulang.

“Kita harap ia menjadi pengajaran kepada masyarakat lain dan tindakan tegas perlu diambil kerana seolah-olah mereka tidak menghargai jasa baik pemimpin dan tidak menghormati kedaulatan serta susun atur negara kita dalam konteks protokol.

"Seharusnya ikon-ikon ini perlu dihormati dan disanjungi, malah tidak wajar kepada rakyat Malaysia bertindak sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial mural memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong di kawasan itu telah diconteng dengan cat berwarna merah.

Selain itu, potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga turut diconteng.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sangat menyedihkan yang seharusnya tidak berlaku di negara ini.

Justeru katanya, masyarakat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa memaklumkan sekiranya perkara seumpama itu berlaku di kawasan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap kerajaan mengenakan tindakan dan hukuman yang berat dan keras kerana tindakan biadab ini bukan sahaja mencalarkan imej pemimpin negara tetapi juga menimbulkan senario yang amat membahayakan iaitu masyarakat tidak lagi menghormati pemimpin.

“Ikon-ikon ini sangat berjasa kepada negara terutama dalam membendung pandemik koronavirus (Covid-19) daripada sukar dikawal seperti yang berlaku di sesetengah negara di dunia.

"Perkara yang berlaku ini adalah sangat pelik dan menimbulkan kemarahan rakyat negara ini terhadap perilaku yang tidak boleh diterima akal itu sedangkan mereka semua sangat berjasa demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!