RM1.2 juta tunggakan cukai bangunan Wisma Punca Emas
SEREMBAN - Sebanyak RM1.2 juta nilai tunggakan cukai taksiran am bagi bangunan Wisma Punca Emas di Jalan Dato Sheikh Ahmad di sini, direkodkan sehingga hari ini.
Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, daripada 201 lot kedai, hanya 46 sahaja yang aktif menjelaskan bayaran.
"Walaupun semua pemilik premis diberi diskaun sebanyak 50 peratus, tapi masih ramai yang tidak menjelaskan bayaran.
"Saya harap semua pemilik dapat bertanggungjawab terhadap harta mereka meskipun ketika ini tidak dapat beroperasi disebabkan tiada bekalan elektrik di situ selepas insiden kebakaran berlaku dua tahun lalu," katanya pada sidang akhbar selepas melawat bangunan berkenaan hari ini.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon.
Selain itu mengenai bangunan berkenaan yang kelihatan terbiar, Kok Seong berkata, premis perniagaan itu berpotensi untuk dimajukan semula kerana berada di lokasi yang strategik.
Bagaimanapun katanya, pihak pemaju atau pengurusan bangunan didapati kurang memainkan peranan membantu pemilik kedai dan peniaga selepas kebakaran berlaku.
"Saya terkejut melihat keadaan bangunan ini yang dulunya antara jadi tumpuan ramai, tapi kini terbiar. Bagi saya paling penting masalah bekalan elektrik di sini perlu diselesaikan.
"Cuma saya dapati terdapat kelemahan pada pengurusan lama yang tidak membantu. Sebagai contohnya, pengurusan sepatutnya memohon hak milik strata kepada setiap unit lot kedai di situ, tapi sehingga kini gagal berbuat demikian walaupun bangunan itu sudah lebih 30 tahun," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta para pemilik premis mengadakan mesyuarat agung tahunan bagi melantik Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang baharu sekali gus memastikan nasib mereka diberi perhatian sewajarnya.
"Bagi pihak kerajaan negeri, kami prihatin terhadap keadaan yang berlaku dan akan cuba sedaya upaya membantu sekurangnya membolehkan peniaga di sini berniaga semula. Ia bukan senang, tapi kita akan cuba bantu.
"Lagipun jika mahu membina pusat membeli belah yang baru mengambil masa dan kos yang tinggi. Kita sudah ada Wisma Punca Emas, cuma keadaan bangunan ini perlu ditambah baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!