Keselamatan kesihatan jadi keutamaan

Saravanan(dua dari kanan) merasmikan Seminar Promosi Kesihatan Tempat Kerja 2020 dan menyampaikan Anugerah Activ@Work Challenge 2019 di Kuala Lumpur. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Saravanan(dua dari kanan) merasmikan Seminar Promosi Kesihatan Tempat Kerja 2020 dan menyampaikan Anugerah Activ@Work Challenge 2019 di Kuala Lumpur. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) komited dalam usaha meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja tentang keselamatan kesihatan di tempat kerja melalui pendekatan Seminar Promosi Kesihatan Tempat Kerja.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, program itu penting sebagai sokongan dan bimbingan kepada majikan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang sihat serta kondusif.

Menurutnya, peningkatan 100 peratus jumlah kes Pencen Ilat dan Pencen Penakat akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) yang agak serius dalam tempoh 10 tahun juga memberikan isyarat jelas perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan tempat kerja perlu menjadi keutamaan majikan.

"Pada 2019, seramai 22,591 pencarum Perkeso telah dilaporkan ilat akibat NCD berbanding 10,409 pada 2010.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,236 kes kematian akibat NCD telah dilaporkan pada 2019 berbanding 4,130 kes kematian pada 2010 iaitu secara puratanya sebanyak 20 kes kematian sehari pada 2019 berbanding hanya 11 kes pada tahun 2010," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Promosi Kesihatan Tempat Kerja 2020 dan Majlis Anugerah Activ@Work Challenge 2019 di World Trade Center di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon; Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengerusi Lembaga Perkeso, Profesor Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah dan Pengasas BookDoc, Datuk Chevy Beh.

Seminar Promosi Kesihatan Tempat Kerja 2020 merupakan kesinambungan inisiatif yang telah dilaksanakan Perkeso sejak 2017, selain Program Pemeriksaan Kesihatan (HSP) yang dilaksanakan sejak 2013 untuk mengatasi trend NCD yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, inisiatif HSP memberikan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pekerja yang layak berusia 40 tahun ke atas untuk pengesanan awal NCD.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sejak ditubuhkan HSP telah menyaring lebih 570,000 pekerja dan hasil saringan tersebut amat membimbangkan.

Justeru, katanya, majikan perlu menggandakan kesedaran bagi memastikan tempat kerja selamat dari segi kesihatan kerana Malaysia masih berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, sejak seminar tersebut diperkenalkan pada tahun 2017, sambutan penyertaan yang diterima agak mengecewakan apabila hanya 96 buah syarikat yang telah melaksanakan program keselamatan kesihatan di tempat kerja masing-masing.

“Tenaga kerja yang sihat adalah aset kepada masyarakat dan negara tetapi beban kerja yang semakin meningkat dan tanggungjawab yang lebih besar telah memaksa rakyat Malaysia menghabiskan waktu lebih lama di tempat kerja.

“Keadaan ini telah menimbulkan masalah kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan pekerja di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Saravanan berharap lebih ramai majikan menyertai Seminar Promosi Kesihatan Tempat Kerja yang bukan hanya untuk manfaat jangka pendek.

“Dengan wabak Covid-19, diharap penyertaan akan bertambah kerana hasilnya adalah untuk jangka masa panjang,” katanya.

Sambutan program Activ@Work Challenge meningkat

Program Activ@ Work Challenge inisiatif Perkeso dengan kerjasama BookDoc yang dilaksanakan sejak tahun 2017 semakin mendapat sambutan penyertaan daripada majikan.

Dr Mohammed Azman berkata, Activ@Work Challenge 2019 juga menyaksikan penyertaan majikan daripada sektor kerajaan.

“Activ@Work Challenge bertujuan sebagai pemangkin kepada majikan dan pekerja untuk menjadi fizikal aktif. Cabaran ini meningkat daripada hanya 132 majikan yang mengambil bahagian pada tahun 2017 kepada seramai 237 majikan pada tahun 2019.

“Kami mengalu-alukan penglibatan mereka dan berharap lebih ramai majikan dalam sektor kerajaan akan menyertai cabaran seterusnya,” katanya.

Anugerah Activ @ Work Challenge 2019 dianjurkan bagi menghargai pemenang program yang diadakan dari bulan September hingga November tahun lalu.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, Perkeso komited menjalankan tanggungjawab memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja daripada kejadian yang tidak dijangka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!