TSG mula latihan rasmi awal Ogos

A
A
A

PELUMBA-pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) kini semakin tidak sabar untuk 'menakluk' setiap pelusuk jalan raya di negara ini dalam satu pasukan selepas hampir lima bulan menjalani latihan secara individu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Eksekutif Operasinya, Nasiruddin Wan Idrus berkata pasukan lumba basikal nombor satu Asia itu akan memulakan latihan secara rasmi dalam bentuk kem latihan pada awal Ogos ini sebagai persediaan menghadapi beberapa siri kejohanan dan jelajah di China serta Thailand yang belum dibatalkan secara rasmi setakat ini.

Beliau berkata tidak seperti kelaziman, kem latihan kali ini akan berlangsung di dalam negara memandangkan dunia masih berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19.

Kayuhan dijangka bermula dari Kuala Terengganu ke Tanah Merah-Gerik-Pulau Pinang-Perak-Pahang dan kembali semula ke Kuala Terengganu.

"Kita anggarkan kem ini akan mengambil masa selama 10 hari dan setiap persinggahan insya-Allah kita adakan sedikit program bersama komuniti.

"Untuk fasa pertama latihan secara berkumpulan, kita akan fokus ke arah mengembalikan 'mood' pelumba dan sebagai persiapan awal menghadapi siri jelajah yang dijadualkan Oktober depan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada lima rumah anak yatim dan orang tua di sekitar Kuala Terengganu.

Bagaimanapun menurut Nasiruddin, kem berkenaan hanya akan disertai oleh pelumba elit tempatan dan dua pelumba daripada Akademi TSG memandangkan tonggak import masih berada di negara masing-masing dan belum mendapat kebenaran untuk masuk ke Malaysia.

Walaupun berjauhan, katanya setiap perkembangan berkaitan latihan dan kecergasan pelumba tetap dipantau dengan rapi oleh jurulatih, Jeremy Hunt yang kini berada di Australia.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Nasiruddin berkata TSG kini membuka pintu kepada mana-mana pihak termasuk badan kebajikan, madrasah atau individu yang memerlukan supaya memohon bantuan dengan pihaknya, sebagai usaha TSG mendekatkan diri dengan masyarakat.

“Kita telah mulakan usaha ini ketika awal PKP dan setakat ini seramai 300 orang termasuk anak yatim dan orang-orang tua mendapat manfaat. Bentuk sumbangan adalah pelbagai seperti barang keperluan harian dan wang tunai,” katanya.

Mereka yang ingin memohon sumbangan boleh menghubungi pegawai di bahagian korporat, Che Siti Nur Aisyah Che Sembilan di talian 09-6284647.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!