Khidmat Wataniah ganti PLKN
SETELAH dihentikan dua tahun lalu, kerajaan baru-baru ini mengumumkan untuk memperkenal program baharu bagi menggantikan Biro Tata Negara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Bagaimanapun, bentuk dan struktur baharu program berkenaan masih dibincang.
BTN adalah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditubuhkan pada tahun 1981 manakala PLKN pula diperkenalkan pada 2004 bertujuan memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.
Walaupun diselia oleh Kementerian Pertahanan, tetapi PLKN bukanlah program bercorak ketenteraan sepertimana dibayangkan banyak pihak sebelum itu.
Perancangan PLKN diluluskan oleh Parlimen melalui Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628). Ringkasnya, objektif PLKN ialah bagi melaksanakan satu program khidmat negara di Malaysia berdasarkan falsafah Rukun Negara.
Difahamkan, lebih 1 juta pelatih telah mengikuti PLKN sejak diperkenalkan dengan melibatkan perbelanjaan keseluruhannya mencecah RM8 bilion.
Program yang pada mulanya dirancang selama dua tahun telah dikurangkan kepada setahun, kemudian enam bulan dan akhirnya dimuktamadkan selama tiga bulan sahaja.
Ini kerana sejak mula dibahaskan, cadangan untuk menganjurkan program tersebut mendapat reaksi yang pelbagai termasuklah dalam kalangan pemimpin masyarakat serta ahli-ahli politik.
Justeru, ada pihak yang mencadangkan agar kerajaan memilih latihan Askar Wataniah (Wataniah) sebagai program PLKN baharu nanti. Ini kerana jelas mereka, Wataniah berjaya melahirkan pelatih yang patriotik dan tahan lasak selain corak latihannya tidak terlalu rigid.
Pelatih Wataniah menjalani latihan ketenteraan selama sebulan yang sebenarnya dipadatkan daripada tempoh asal enam bulan yang diikuti rekrut tentera.
Kem-kem Wataniah juga terdapat di seluruh negara.
Kali pertama Khidmat Negara diperkenalkan ialah pada tahun 1952 bagi mengerah tenaga para pemuda Tanah Melayu ketika itu untuk memerangi pengganas komunis.
Sungguhpun begitu, ramai juga anak-anak muda yang dipercayai melarikan diri ke luar negara kerana enggan mengangkat senjata.
Semasa Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963-1966, kerajaan menguatkuasakan Akta Khidmat Negara 1952 bagi mengerah para belia untuk menyertai perkhidmatan tentera.
Ideologi
Bagaimanapun, program ini tamat apabila berakhirnya Konfrontasi. Selain itu, pengambilan secara rambang para belia menyertai pasukan tentera juga dilihat tidak sesuai pada masa itu berikutan ada segelintir pelatih yang dikesan cenderung pada ideologi komunis.
Negara jiran, Singapura contohnya mewajibkan semua warga negara lelaki menyertai Khidmat Negara (NS) selama dua tahun termasuk mereka yang berstatus penduduk tetap sebaik mencapai usia 18 tahun.
Sebahagian besarnya memilih menyertai tentera manakala bakinya menganggotai polis atau pasukan pertahanan awam.
Singapura menguatkuasakan Akta NS bermula tahun 1967 apabila seramai 9,000 belia menjadi kumpulan perintis.
Selepas menamatkan kerahan tentera wajib ini, mereka boleh kembali pada dunia awam tetapi dimestikan berkhidmat dalam pasukan simpanan.
Pelaksanaan ini sebenarnya menepati doktrin pertahanan republik itu yang mahu setiap lapisan rakyatnya bersedia untuk mempertahankan negara di samping membentuk generasi yang cintakan tanah air.
Sungguh pun begitu, kesesuaian melaksanakan khidmat kerahan adalah berbeza mengikut kehendak sesebuah negara.
Amerika Syarikat (AS) misalnya bertindak menghentikan program kerahan tentera pada penghujung tahun 1973 berikutan penyusunan semula pasukan bersenjatanya sebagai sebuah angkatan perang profesional.
Menghentikan khidmat kerahan membolehkan tentera (AS) mendapatkan sumber manusia yang lebih baik, berkualiti, berdisiplin dan sememangnya meminati kerjaya tersebut.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!