Amalkan prinsip kelima Rukun Negara
SHAH ALAM - Ahli Parlimen perlu mengamalkan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan semasa berdebat di Parlimen.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, bahasa yang digunakan sebenarnya memperlihat identiti orang yang menggunakannya.
"Ini bukan sahaja untuk menghormati Parlimen kerana ia tempat yang mulia. Kita perlu menjaga tutur kata agar tidak dianggap sebagai orang tidak beradab," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, diharapkan dengan pelantikan Yang Dipertua baharu situasi itu mula dibanteras dengan mengenakan hukuman yang lebih keras.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, ungkapan rasis bukan sahaja jelik, malah boleh mencetuskan emosi marah di dalam dan luar Parlimen.
"Emosi marah boleh memecah belah kita dalam sebuah negara majmuk. Sepatutnya untuk keharmonian di negara ini, kita mewujudkan lebih banyak detik penyatupaduan dan dalam konteks ini, dengan mengelak daripada menggunakan bahasa yang boleh mencetuskan kemarahan.
"Oleh itu, marilah kita elak daripada menggunakan bahasa jelik dan ia dimulakan oleh ahli Parlimen dalam konteks Teladan Melalui Kepimpanan, satu slogan yang diguna pakai oleh masyarakat," katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semua Whip parti sebulat suara bersetuju untuk memastikan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis tidak digunakan di dalam Dewan Rakyat.
Azhar Azizan berkata, keputusan itu dicapai dalam pertemuan beliau bersama semua Ketua Whip parti kelmarin.
Menurutnya, melalui pertemuan itu, semua Whip parti bersetuju memperbaharui komitmen mereka dalam mempertahankan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat agar perkataan-perkataan tersebut tidak digunakan.
Sementara itu, tokoh sastera dan bahasa, Dr Abdul Rahman Napiah atau dikenali sebagai Mana Sikana pula berkata, ahli Parlimen yang menggunakan bahasa tidak sepatutnya semasa bersidang di Dewan Rakyat kelihatan seperti tukang lawak politik atau penjual ubat di jalanan.
Beliau yang juga seorang pengarang dan pengkritik sastera di Malaysia berkata, sebagai ahli Parlimen yang membawa suara rakyat, mereka sepatutnya mengamalkan sikap berhemah dan berhati-hati dalam berbahasa supaya mereka dihormati.
"Ini tidak, sebahagian mereka mengamalkan sikap kurang tata tertib, kasar dan kadang-kadang menafikan sifat mulia dalam berbahasa.
"Sedangkan dengan berbahasa ia dapat mengisyaratkan atau mencerminkan peribadi seseorang," katanya.
Menurutnya, seorang pengkaji teori psikoanalisis pascamoden, Jacques Lacan ada menyatakan bahawa bahasa dapat melambangkan ketinggian sesuatu bangsa.
"Kerana itu, jika bahasanya buruk menunjukkan bangsa itu kurang bertamadun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!