‘Dewan Rakyat tidak boleh jadi platform hujahan emosi’
SHAH ALAM - Dewan Rakyat bukan pentas ahli politik bercakaran sebaliknya medium utama untuk memperjuangkan mandat rakyat.
Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, setiap ahli Parlimen seharusnya lebih peka dan bersedia menggalas tanggungjawab lebih berat dalam mengutamakan nasib rakyat di kawasan mereka.
“Dewan Rakyat tidak boleh menjadi platform membincangkan hujahan emosi dan taktikal politik untuk kepentingan peribadi.
“Sebaliknya ia adalah platform untuk membentang, membahas dan membincangkan perundangan berhubung permasalahan negara serta mekanisme terbaik yang boleh menguntungkan rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, tindakan segelintir ahli Parlimen mengeluarkan perkataan berbaur perkauman atau seksis ketika berhujah mencemarkan martabat Dewan Rakyat.
“Dalam hal ini tidak kira ahli Parlimen pembangkang atau kerajaan perlu ada komitmen untuk mengelakkan diri mengeluarkan sebarang bentuk ucapan yang boleh menimbulkan kontroversi serta boleh mengguris perasaan dan hati orang lain sama ada ahli Parlimen lain atau masyarakat luar.
“Perlu diingatkan mereka adalah pemimpin yang menjadi contoh kepada rakyat. Tidak mustahil tindakan mereka yang tidak sopan dan biadab ini akan menjadi ikutan terutama kepada generasi muda, lebih-lebih lagi setiap persidangan kini boleh diikuti secara langsung.
“Lebih malang lagi, ia (tindakan) mengecewakan sebahagian rakyat yang mengundi mereka kerana mereka ini dipilih untuk membela nasib pengundi, dan bukannya berkelakuan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata, tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengingatkan kesemua ahli Dewan Rakyat diingatkan agar tidak menggunakan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis sepanjang persidangan berlangsung wajar dipuji.
“Kita sebenarnya merindui suasana Dewan Rakyat yang dipenuhi dengan perbahasan-perbahasan yang mantap, penuh dengan hujah-hujah berdasarkan fakta, ilmu serta konsep yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat.
“Dewan Rakyat tidak sepatutnya menjadi medan untuk berlagak seperti ‘hero’ atau menunjukkan kehebatan masing-masing, apatah lagi ia dijadikan medan untuk mengutuk atau memperkecilkan musuh-musuh politik sehingga menimbulkan pertelingkahan yang tidak perlu,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, insiden yang berlaku tidak menggambarkan Dewan Rakyat berfungsi sepertimana dinyatakan dalam Perlembagaan.
“Sesetengah yang menggunakan bahasa mengecam dan menghina sebenarnya hanya ingin mendapatkan populariti murah. Mereka mahu disanjung oleh penyokong bila dapat mengherdik ahli parlimen dari pihak lawan.
“Amalan sebegini mencerminkan keperibadian mereka yang tidak matang dan beradab,” katanya.
Justeru, beliau berkata, penguatkuasaan peraturan mesyuarat di samping adab dan etika perbahasan perlu diperkasakan.
“Lebih-lebih lagi sidang mesyuarat ditonton secara langsung oleh semua lapisan rakyat. Kepimpinan mesti menjadi contoh teladan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!