Lima pejuang disokong Iran maut serangan tentera Israel
DAMSYIK - Lima pejuang yang disokong Iran terbunuh dalam satu serangan peluru berpandu Israel di ibu kota negara itu, kata sebuah kumpulan pemantau berpangkalan di Britain.
Serangan peluru berpandu itu dilakukan pada malam Isnin lalu dan mengenai kedudukan ketenteraan serta depot senjata pejuang militia di selatan Damsyik, menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Agensi berita SANA melaporkan, serangan itu turut menyebabkan tujuh anggota tentera Syria cedera dan peluru berpandu itu dilancarkan dari pesawat pejuang tentera Israel yang ketika ini menduduki kawasan Bukit Golan.
Kumpulan syiah Hezbollah berkata, salah seorang yang terbunuh itu merupakan anggotanya.
Menurut kumpulan pemantau tersebut, lima orang yang terbunuh itu bukan warga Syria.
Ia menyatakan, jumlah keseluruhan yang cedera ialah 11 orang iaitu empat bukan warga Syria dan tujuh anggota tentera Syria dengan dua daripadanya kritikal. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!