Pemimpin lama di Perak tak dipinggir
IPOH - PKR Perak tidak akan meminggirkan bekas pemimpin mereka walaupun tidak dilantik di dalam barisan kepimpinan baharu.
Ketua Wanitanya, Chua Yee Ling berkata, sumbangan dan pengalaman pemimpin lama masih diperlukan untuk memastikan parti terus relevan.
“Kombinasi pemimpin lama dan baharu perlu diteruskan supaya gerak kerja yang dibuat dengan lebih baik. Orang muda kita ada idea yang baru, ada pendekatan yang lebih dinamik dan juga kita akan fikirkan program-program yang lebih dekat dengan orang muda.
“Tetapi untuk pemimpin veteran, pengalaman mereka sangat bermakna dan mereka boleh berkongsi apa yang mereka buat sebelum ini. Kesinambungan itu sangat penting kerana gerakan gelombang reformasi ini ada pelapisnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Sinar Live bersama-sama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri, hari ini.
Sementara itu, Mohamad Hairul Amir berkata, PKR secara tradisinya memang melahirkan ramai pimpinan muda, malah dalam kepimpinan sebelum ini juga anak muda ramai diberikan kepercayaan menjadi calon pada PRU.
“Saya nampak kepimpinan di bawah saudara Farhash (Wafa Salvador Rizal Mubarak) sangat terbuka dan mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuklah pemimpin lama.
“Jadi tidak timbul sebenarnya soal PKR Perak meminggir orang lama disebabkan barisan kepimpinan menampilkan muka-muka baru. Pemimpin lama akan diberi ruang untuk bersama-sama dalam pimpinan melalui lantikan ke dalam biro-biro sedia ada,” katanya.
Menurutnya, barisan kepimpinan yang ada bukanlah ahli baharu dalam parti, sebaliknya orang lama di dalam parti dan semua yang dilantik sudah lama menjadi ahli namun sebahagian mereka sebelum ini tidak menonjol di dalam kepimpinan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!