Rukun Negara boleh jadi penawar

Syahredzan pada Wacana Sinar ke-181 bertajuk Rukun Negara Sekadar di Kulit Buku? di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, semalam. - Foto Asril Aswandi Shukor
Syahredzan pada Wacana Sinar ke-181 bertajuk Rukun Negara Sekadar di Kulit Buku? di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, semalam. - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Undang-undang bukan penyelesaian untuk semua masalah, sebaliknya Rukun Negara jika dipraktikkan mampu menjadi penawar kepada semua perbezaan yang wujud dalam masyarakat Malaysia.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, stigma masyarakat yang menganggap undang-undang sebagai ubat kepada semua masalah perlu diubah.

Menurutnya, konsep pemahaman yang salah menyebabkan mereka terlalu bergantung kepada aspek perundangan sedangkan konsep undang-undang itu digubal adalah untuk memastikan had kepada interaksi antara masyarakat, individu dengan negara.

"Campur tangan kerajaan untuk melaksanakan undang-undang sepatutnya berlaku hanya bila terdapat individu atau masyarakat yang melebihi had.

"Dalam keadaan itu saja barulah peranan undang-undang mengambil tempatnya," katanya pada Wacana Sinar ke-181 bertajuk Rukun Negara Sekadar di Kulit Buku? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Media Karangkraf, di sini semalam.

Turut menjadi panel pada program itu Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, Darshinee Suresh Kumar serta moderator, Azlan Shah Nabees Khan.

Katanya, pada masa yang sama beliau mengakui kewujudan pelbagai isu termasuk perkauman dan perpaduan di negara ini tetapi bukan semua isu patut menggunapakai undang-undang untuk menanganinya.

"Saya ambil contoh mural gergasi memaparkan gambar Yang-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan beberapa pemimpin negara yang lain yang diconteng dengan kata-kata kesat baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita boleh cari pelakunya tetapi saya tidak nampak undang-undang apa yang boleh diguna pakai. Pada masa yang sama wujud pula isu dan bagaimana hendak tangani isu itu," katanya.

Syahredzan yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, jika semua pihak boleh berbalik kepada Rukun Negara dan menjadikannya sebagai panduan, ia mampu menguruskan isu atau perbezaan yang timbul tanpa perlu campur tangan perundangan.

"Contohnya, jika pelaku amalkan nilai kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara, tak mungkin dia rasa busuk hati untuk conteng mural/hasil kerja orang lain dan begitu juga ketika sesi di Parlimen pada hari pertama, jika mereka faham nilai Rukun Negara tak mungkin ada yang sanggup bangun mengherdik dan mencaci ahli Parlimen lain.

"Jadi saya melihat Rukun Negara sebagai penawar sebenar untuk menguruskan konflik yang kita ada kerana banyak nilai-nilai yang boleh diangkat. Berbeza dengan undang-undang, ia memaksa orang untuk tidak melakukan sesuatu kerana takut dihukum bukan kerana mereka ada kesedaran pada hati," katanya.

Menurutya, jika Rukun Negara dihayati semua pihak akan tetap berada dalam keadaan demokratik di samping menjaga etika antara satu sama lain.