Pemandu kereta langgar SUV bebas jaminan polis

Seorang lelaki keluar dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah selepas dibebaskan atas jaminan polis, hari ini. - Foto Bernama
Seorang lelaki keluar dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah selepas dibebaskan atas jaminan polis, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 yang terhumban ke laut di Jambatan Pulau Pinang, Ahad lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pemandu kereta Toyota Vios itu yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) SPT pukul 2.00 pagi ini telah dibenarkan diikat jamin polis kira-kira pukul 6.45 petang ini.

"Pemandu yang bekerja sebagai pendandan rambut itu dibebaskan setelah polis selesai mengambil keterangannya.

"Setakat ini pihak polis masih menunggu laporan ujian darah dan ujian alkohol pemandu berkenaan," katanya di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kedua-dua pemandu berkenaan berlumba ketika kejadian, Nik Ros Azhan berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, beberapa orang anggota keluarga pemandu Toyota Vios tiba di premis Cawangan Polis Trafik IPD SPT sebelum membawa lelaki tersebut beredar dari situ.

Lelaki itu juga turut mengelak daripada bercakap dengan pihak media yang menunggunya di situ sejak pukul 4.00 petang.

Kenderaan SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey Yun Peng, 20, dilaporkan hilang kawalan selepas berlanggar dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios sebelum terhumban ke laut dari Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang kira-kira 2.45 pagi, Ahad lepas.

Artikel Berkaitan:

Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Peng dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan petang semalam.

Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada 6.07 petang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!