Kerajaan susun semula Dasar Automotif Nasional 2020

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menyusun semula pelan tindakan Dasar Automotif Nasional 2020 bagi menjadikan sektor automotif negara lebih berdaya saing dan maju.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah tersebut akan dapat membantu menyegerakan pemulihan sektor automotif negara.

Menurutnya, ia dilakukan melalui galakan pelaburan dalam segmen kenderaan berteknologi tinggi dan mesra alam sekitar, pembangunan tenaga mahir tempatan dan peningkatan aktiviti pembuatan bernilai tinggi.

“Terutamanya bagi produk pasaran lepas jualan atau after-sales market serta mengaplikasikan teknologi termaju dalam rantaian bekalan automotif.

“Ekonomi negara telah terkesan dengan wabak Covid-19 dan semua sektor ekonomi termasuk sektor automotif turut terjejas daripada segi pelaburan, pengeluaran dan penjualan,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi) mengenai anggaran Total Industry Volume (TIV) sektor automotif bagi tahun ini dan langkah memberi bantuan serta insentif bersasar kepada industri itu.

Menurut Mohamed Azmin, bagi tahun ini, Persatuan Automotif Malaysia( MAA) mensasarkan TIV sebanyak 607,000 unit merangkumi kenderaan penumpang dan perdagangan.

Bagaimanapun katanya, MAA mengkaji semula sasaran tersebut kepada 400,000 unit dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa, global dan domestik.

Artikel Berkaitan:

“Penjualan kenderaan penumpang dan perdagangan telah mengalami kemerosotan mendadak pada April 2020 yang mencatatkan hanya 141 unit berbanding dengan jualan dalam bulan Mac 2020 sebanyak 22,478 unit.

“Berikutan langkah Kerajaan membuka kembali sektor-sektor ekonomi mulai 4 Mei 2020, jumlah jualan kenderaan kembali meningkat pada bulan Mei 2020, dengan TIV sebanyak 22,960 unit.

“Jumlah jualan kenderaan tersebut masih jauh lebih rendah berbanding 60,760 unit yang dicatatkan bagi bulan yang sama pada 2019,” ujarnya.

Tambah beliau, penjualan motosikal mencatatkan penjualan sebanyak 19,507 unit pada Mei dan 42,190 unit pada Jun lepas.

Dalam pada itu menurutnya, insentif pengecualian cukai dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) memberikan pengurangan harga kenderaan penumpang secara purata sebanyak 3.32 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!