Suri rumah didakwa ugut jiran guna parang

Noor Aini (kanan) mengaku tidak salah mengugut jirannya dengan parang di Mahkamah Majistret Marang hari ini
Noor Aini (kanan) mengaku tidak salah mengugut jirannya dengan parang di Mahkamah Majistret Marang hari ini
A
A
A

MARANG - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut untuk mencederakan jirannya menggunakan sebilah parang pada 13 Julai lalu.

Tertuduh, Noor Aini Mohammad, 35, dari Bukit Payong di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut jirannya, Azizah Adib Rahim, 25, dengan memegang sebilah parang sambil mengeluarkan kata-kata "mu mari keluar, aku nak pukul mu".

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Payong, Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, di sini jam 6.45 petang pada 13 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah seterusnya menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!