Hospital swasta digesa hentikan caj parkir

Tines Arumugam
Tines Arumugam
A
A
A

IPOH - Semua hospital swasta di Perak khususnya di Ipoh digesa supaya tidak mengenakan caj parkir kepada pesakit dan pelawat mereka.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ipoh Barat, Tines Arumugam berkata, tindakan tersebut dilihat tidak wajar kerana ia akan menyukarkan pesakit atau waris untuk mendapatkan rawatan segera.

Katanya, keputusan mengenakan caj parkir perlu difikirkan sedalam-dalamnya sebelum ia dilaksanakan.

"Semua orang tahu hospital tempat untuk merawat penyakit, bukan tempat berseronok atau membeli belah. Jadi caj parkir hospital ini saya boleh katakan tak wajar. Malah kadar caj yang tinggi disifatkan sebagai mengarut dan tak boleh diterima.

"Saya harap kerajaan negeri juga perlu memandang serius perkara ini dengan mengadakan perbincangan dengan pihak hospital swasta untuk memikirkan semula keputusan mengenakan caj parkir," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Tines berkata, pihaknya turut menerima aduan orang ramai tentang kadar caj parkir hospital swasta ini yang disifatkan sebagai membebankan pengguna.

Menurutnya, dengan kos perubatan yang mahal, caj parkir tersebut perlu diserap oleh pihak hospital swasta dan bukan mengenakan caj kepada pelanggan.

Beliau berkata, jika langkah mengenakan caj itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan parkir, pihak hospital perlu memikirkan langkah yang lain tanpa membebankan pesakit.

Artikel Berkaitan:

Menurut Tines, jika sekiranya pihak hospital swasta tidak mempunyai pilihan lain, mereka perlu mengenakan caj paling minimum yang tidak membebankan pengguna.

"Tidakkah pihak hospital memikirkan bahawa tindakan mengenakan caj tersebut akan merugikan mereka kerana menyusahkan pelanggan?.

"Jika perkara ini berterusan, saya mengajak orang ramai untuk menggunakan kuasa pengguna mereka memilih hospital swasta lain yang tidak mengenakan caj parkir kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Tines berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak hospital swasta yang mengenakan caj parkir bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga diminta memainkan peranan untuk membantu mengatasi isu ini kerana ia membebankan rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!