Lelaki tular makan di restoran disahkan negatif Covid-19

Foto individu lelaki memakai tag kuarantin yang tular media sosial sebelum ini.
Foto individu lelaki memakai tag kuarantin yang tular media sosial sebelum ini.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki yang gambarnya tular di media sosial berikutan dilihat sedang minum dengan tangannya memakai tag kuarantin di sebuah restoran sekitar Sg Udang pagi tadi didapati negatif wabak koronavirus (Covid-19) setelah keputusan ujian saringan kali kedua dijalankan terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.15 pagi memaklumkan seorang lelaki dilihat memakai tag kuarantin sedang minum di sebuah restoran sekitar kawasan itu.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota yang digerakkan telah tiba di lokasi berkenaan pada jam 10.20 pagi namun mendapati individu tersebut telah tiada.

"Pemilik restoran kemudiannya memaklumkan lelaki itu telah ke Klinik Kesihatan Botanik bagi menjalani pemeriksaan lanjut dengan menaiki kereta dibawa rakannya yang bekerja di premis itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular makcik gelang ‘pink’: Restoran lakukan sanitasi

"Polis difahamkan lelaki itu yang mendapatkan ujian saringan Covid-19 kali kedua di klinik berkenaan disahkan negatif wabak tersebut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beberapa keping foto seorang lelaki tular di media sosial apabila dia kelihatan memakai tag kuarantin Covid-19 namun masih bebas minum di restoran dan melanggar arahan pihak berkuasa.

Tindakan lelaki itu menimbulkan kecaman banyak pihak memandangkan kes Covid-19 dalam negara pada masa kini dilihat semakin menunjukkan trend peningkatan.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan kompaun ke atas lelaki yang berusia 55 tahun itu selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki terlibat perlu menjalani kuarantin di rumah dari 9 Julai sehingga 23 Julai selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari India," katanya.

Tambah beliau, premis restoran terlibat juga turut diarahkan tutup oleh pihak polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!