Rakyat kian alpa, tidak patuhi SOP

Zainal Abidin.- Foto: Bernama
Zainal Abidin.- Foto: Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI- Pematuhan individu serta premis perniagaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semakin berkurangan berdasarkan pemantauan pihak polis, sejak tiga hari lepas.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, keadaan itu meresahkan pihak berkuasa kerana ia boleh menyebabkan peningkatan kes Covid-19 sekiranya masyarakat berterusan tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

"Lokasi pemantauan ada lapan antaranya di premis kedai makan, restoran, masjid, rumah ibadat, stesen bas, LRT (Transit Aliran Ringan), kenderaan awam, majlis keraian, sekolah dan universiti.

"Pemantauan mendapati pematuhan semakin berkurangan dengan ada kedai makan, restoran, 'bistro dan bar' tidak mematuhi langsung penjarakkan sosial," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu, Zainal Abidin berkata, polis juga mendapati semakin ramai individu tidak mematuhi SOP ketika berada di tempat riadah, antaranya berkumpul beramai-ramai tanpa mempedulikan amalan penjarakkan sosial serta membiarkan kanak-kanak bergaul antara satu sama lain tanpa kawalan.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis akan terus mengambil tindakan tegas dengan mengenakan kompaun RM1,000 kepada mana-mana individu serta premis perniagaan yang didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan mulai hari ini.

"Kita tidak akan beri nasihat atau amaran dah, tindakan tegas akan terus diambil mulai hari ini. Orang awam juga boleh membuat aduan kepada pihak polis sekiranya mendapati ada yang tidak mematuhi SOP ini.

"Contohnya, pergi ke majlis keraian kalau mendapati pramusaji tidak disediakan, tidak ada penjarakkan sosial, tolong maklum kepada pihak kita, kita boleh berhentikan majlis itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zainal Abidin turut membuat pemeriksaan mengejut pematuhan SOP dalam tempoh PKPP di sebuah restoran nasi kandar dan pusat beli-belah di Aman Jaya di sini.

Dalam pemeriksaan itu, restoran nasi kandar berkenaan dikompaun RM1,000 kerana melanggar SOP antaranya tiada rekod catatan suhu badan pelanggan dan tiada laluan keluar masuk yang khusus untuk pelanggan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!