Siasat individu intip mesyuarat tanpa kebenaran: Shahidan

Shahidan Kasim
Shahidan Kasim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Arau (BN), Datuk Seri Shahidan Kasim menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat individu yang melakukan intipan tanpa kebenaran dalam sesuatu mesyuarat atau perbincangan.

Beliau berkata, perbincangan yang diintip dan dibawa ke Parlimen merupakan satu perkara yang belum disiasat serta menjadi satu kesalahan jika didedahkan.

Menurutnya, pengintipan yang melanggar hak privasi seseorang akan mewujudkan permasalahan kepada negara.

“Pihak polis kena siasat dan keluar kenyataan bolehkah orang mengintip hantar pengintip dari dalam dan hebahkan.

"Perkara ini boleh menimbulkan keluh resah hak peribadi seseorang yang perlu dipertahankan. Kita tak mahu ramai pencuri.

"Yang boleh berbuat demikian (intipan) hanyalah polis sahaja tetapi kalau ada rakyat lain boleh berbuat demikian kena ada peraturan," katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Semalam ketika membahaskan Titah Diraja, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menyatakan bahawa Dewan Rakyat pernah membenarkan bahan audio atau video dimainkan dalam persidangan pada tahun 2007.

Perkara tersebut didakwa dilakukan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh yang memainkan video atau audio berkaitan pertuduhan rasuah membabitkan bekas Ketua Hakim Negara.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dalam satu sidang akhbar berasingan di Parlimen hari ini, Ramkarpal memperbetulkan tahun video atau audio berkenaan dimainkan iaitu pada 2009, bukan 2007 seperti disebut beliau semalam.

Sehubungan itu, Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) mencadangkan pihak kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ramkarpal dengan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Kebebasan.

“Perkara itu harus dilakukan kerana dakwaan Bukit Gelugor (Ramkarpal) adalah tidak berasas dan suatu perbuatan mengelirukan dewan yang menjadi kesalahan mengikut Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Kalau benarkan satu orang pasang audio di Parlimen, apa akan jadi pada Parlimen kita?

"Esok ramailah pasang audio di Parlimen yang boleh mengelirukan Dewan. Kalau mereka ada audio, bukan untuk dibawa ke Parlimen tetapi pergilah jumpa polis,” katanya.

Sementara itu, Shahidan menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan secara telus salah laku pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dipercepatkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!