Thailand sambung perintah darurat sehingga hujung Ogos
BANGKOK - Thailand akan menyambung perintah darurat negara itu untuk tempoh sebulan lagi sehingga hujung Ogos, sebagai usaha mengekang penularan koronavirus (Covid-19), pada ketika negara itu membuka sempadannya kepada warga asing terpilih, termasuk pekerja asing dari negara jiran sebagai usaha memulihkan kembali ekonominya yang terjejas akibat pandemik itu.
Walaupun negara itu telah ‘sifar’ jangkitan tempatan Covid-19 untuk hampir dua bulan, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional Jeneral Somsak Roongsita berkata, situasi di tempat lain di seluruh dunia masih membimbangkan di mana jumlah kes terus meningkat.
Perdana Menteri Jeneral, Prayuth Chan o-cha hari ini yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata, CCSA telah bersetuju membenarkan warganegara asing terpilih termasuk pekerja asing dari negara jiran terutamanya Kemboja, Myanmmar, Laos dan Vietnam, dalam industri infrastruktur dan makanan untuk memasuki negara itu.
Selain itu beliau berkata, pelancong perubatan, warga asing menghadiri persidangan antarabangsa dan pameran perdagangan, krew produksi filem luar dan pemegang kad Elite Thailand (mereka yang mempunyai visa untuk tinggal jangka masa panjang dan visa kemasukan entri berbilang) adalah antara yang dibenarkan untuk memasuki negara itu.
Bagaimanapun, tarikh sebenar mereka dibenarkan memasuki semula negara itu, tidak diumumkan.
“Perintah darurat masih lagi diperlukan bagi mengawal pandemik Covid-19 secara berkesan di negara ini, kerana Thailand telah membuka semula pintunya kepada kumpulan pelawat bagi membantu memulihkan semula ekonomi negara.
“Penyambungan perintah darurat ini hanyalah untuk mengekang pandemik Covid-19. Ia tidak ada kena mengena dengan perhimpunan politik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Penyambungan itu bergantung kepada kelulusan Kabinet pada Selasa. Perintah Darurat masa ini akan berakhir pada 31 Julai. Sehingga kini, Thailand telah menyambung semula perintah daruratnya empat kali dengan buat kali pertamanya dari 26 Mac ke 30 April, disambung ke 31 Mei, dan kemudiannya ke 30 Jun, sebelum disambung semula ke 31 Julai.
Tindakan penyambungan tersebut menimbulkan persoalan pelbagai pihak, kerana Thailand telah mencatatkan jangkitan kes Covid-19 satu digit dan sifar jangkitan tempatan, untuk tempoh 59 hari.
Walaupun perhimpunan besar-besar dilarang di bawah perintah darurat, kira-kira 2,500 orang mengadakan protes di ‘Bangkok Democracy’, yang mendesak penukaran kerajaan. Dua lagi protest telah diadakan di Chiang Mai dan Ubon Ratchathani pada Ahad.
Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweeslip Wissanuyothin berkata, kumpulan yang terpilih selain pekerja asing yang dibenarkan untuk memasuki negara itu, termasuklah diplomat dan pelawat perniagaan yang perlu menjalani kuarantin di pusat milik kerajaan selama 14 hari.
Pekerja asing dalam industri makanan dan infrastruktur yang dibenarkan untuk memasuki negara akan menjalani kuarantin di tempat kerja mereka, bagi mengurangkan kos kepada majikan.
Sementara itu, Thailand hari ini melaporkan enam kes baru Covid-19, kesemuanya melibatkan warga Thailand yang pulang dari luar negara dan sedang menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti kerajaan. Kes keseluruhan kini berjumlah 3,261 dan dengan jumlah kematian kekal 58 kes.
Enam kes baru melibatkan empat pelajar lelaki warga Thailand yang pulang dari Mesir dan masing-masing seorang wanita dari Amerika Syarikat dan Jerman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!