Tony Pua gagal peroleh penarikan balik saman oleh Najib

Tony Pua, Najib Razak
Tony Pua, Najib Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan penarikan balik saman fitnah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadapnya.

Saman itu berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) atau RUU355.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk P. Nallini memutuskan bahawa permohonan Tony Pua tidak memenuhi kehendak di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan syarat-syarat rayuan.

“Inti pati hujah peguam Datuk Malik Imtiaz yang mewakili Tony Pua ialah anak guamnya telah berdepan prasangka kerana Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah injunksi terhadapnya dan kemudian bekas perdana menteri itu tiba-tiba memutuskan untuk menarik balik saman tersebut.

"Oleh itu, permohonan untuk mendapatkan kebenaran oleh perayu (Pua) ditolak," kata Nallini yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Mahkamah itu kemudian memerintahkan Pua membayar RM20,000 kepada Najib sebagai kos.

Tony Pua memohon kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Okt 2019 yang membenarkan sebahagian daripada rayuannya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer telah membenarkan Tony Pua menerima ganti rugi selepas Mahkamah Tinggi pada 2018 membenarkan permohonan Najib untuk menarik balik saman fitnah terhadapnya (Pua) berkaitan pembentangan RUU355.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Rayuan turut mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi dan mengenepikan injunksi yang diperoleh Najib dalam samannya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Najib menarik balik samannya terhadap Tony Pua.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Julai 2018 telah membenarkan Najib menarik balik samannya terhadap Tony Pua meskipun dibantah defendan.

Najib menyaman Tony Pua dalam kapasiti peribadinya dan mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau menerusi rakaman video berdurasi dua minit 21 saat yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasminya.

Susulan saman itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2017 telah mengeluarkan perintah injunksi kepada Najib untuk menghalang Tony Pua daripada terus mengeluarkan kenyataan dan menyiarkan klip video serupa.

Tony Pua gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 14 Feb 2018 untuk mengenepikan perintah injunksi yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada Najib.

Tony Pua memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan pada 20 Jun 2018 untuk merayu berkaitan perintah injunksi itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!