Guan Eng tinggalkan SPRM selepas enam jam
PUTRAJAYA - Selepas enam jam, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng selesai memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.
Bagaimanapun bekas Menteri Kewangan itu enggan memberi sebarang komen meskipun disapa pemberita yang menunggunya di lobi utama.
Guan Eng meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7.15 petang ditemani Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Sementara itu, Rayer berkata, Guan Eng akan hadir semula pada Sabtu ini untuk menyambung keterangan.
"Beliau dalam cuti sakit hari ini dan esok akan kembali menyambung memberi keterangan pada Sabtu, jam 10 pagi," katanya.
Rayer yang juga peguam mewakili Guan Eng mengesahkan anak guamnya hadir memberi keterangan sebagai saksi.
"Iya, siasatan berhubung terowong itu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN - Terowong dasar laut: Guan Eng hadir beri keterangan kepada SPRM
Terdahulu Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang tiba pada jam 1.05 petang turut ditemani Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Pada 7 Julai lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan bagi projek berkenaan.
Pada 3 Julai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu.
Katanya, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!