Malaysia mohon tiga rakyat di Arab Saudi dibenar tunai haji

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

KLANG - Kerajaan memohon kepada Arab Saudi agar membenarkan tiga rakyat Malaysia yang berada di negara itu menjadi antara 1,000 jemaah terpilih bagi menunaikan ibadah haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya, tiga individu terbabit adalah kakitangan Lembaga Tabung Haji yang membuat pelaporan dan tugasan di Arab Saudi berkaitan pelaksanaan ibadah haji ketika penularan koronavirus (Covid-19).

“Kita dimaklumkan bahawa 1,000 jemaah itu terdiri daripada pelbagai warganegara yang berada di Arab Saudi.

“(Tindakan mengehadkan jemaah haji) adalah untuk menegakkan syiar Islam dengan tetap mengadakan ibadah haji tahun ini tapi dalam prosedur operasi standard (SOP) yang benar-benar ketat," katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada sebuah keluarga asnaf di Jalan Kapar, di sini hari ini.

Difahamkan surat permohonan itu telah diserahkan kepada Arab Saudi minggu lepas.

ARTIKEL BERKAITAN - Arab Saudi umum ibadat haji bermula 29 Julai ini

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi dilapor mengehadkan jumlah jemaah haji tahun ini kepada hanya 1,000 orang dengan pelaksanaan SOP yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Media melaporkan, ibadah haji yang biasanya disertai lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, tahun ini dilaksanakan dalam suasana protokol kebersihan yang ketat dengan akses terhad kepada jemaah berusia bawah 65 tahun serta tanpa penyakit kronik.

Terdahulu, Zulkifli turut melancarkan program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli: Is’ad Al Usrah, bertujuan membantu golongan asnaf dan penerima zakat bagi pembinaan rumah dengan peruntukan RM10,000. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!