Lelaki menyamar wanita mencuri dalam masjid

Tok Beng Yow
Tok Beng Yow
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki menyamar wanita untuk mencuri di ruang solat wanita di Masjid Jamek Kampung Melayu di sini pada Sabtu lalu.

Lelaki berkenaan yang memakai jubah wanita melakukan jenayah itu pada jam 7.30 malam semasa dua wanita sedang menunaikan solat Maghrib.

Suspek pada mulanya memasuki ruang solat wanita dan berpura-pura menunaikan solat di belakang kedua-dua wanita tersebut.

Apabila kedua-duanya sedang sujud, suspek terus mencapai dua beg yang berada di antara dua wanita itu lalu melarikan diri.

Bagaimanapun tindakannya disedari salah seorang wanita berkenaan yang menyebabkan satu daripada dua beg itu tercicir.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yow berkata, suspek berjaya melepaskan diri dan mangsa berusia 54 tahun membuat laporan pada jam 8.40 malam hari yang sama di Balai Polis Kulai.

"Kita sudah mengenal pasti lelaki itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

"Mangsa dianggarkan mengalami kerugian RM3,000 yang melibatkan sejumlah wang tunai dan barangan berharga lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular video menunjukkan seorang lelaki memakai jubah yang memasuki ruang solat wanita dan kemudian mencuri beg kepunyaan wanita yang sedang menunaikan solat.

Berdasarkan rakaman video itu, lelaki terbabit mengambil sejadah dan meletakkannya di bahagian kepala sebelum berpura-pura solat.

Beng Yow berkata, polis kini mengesan suspek yang dipercayai merupakan rakyat tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!