Jamry Sury meninggal dunia
IPOH - Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Jamry Sury meninggal dunia di rumahnya di Rapat Setia di sini hari ini.
Perkara itu disahkan oleh anaknya, Farah Jamry menerusi Facebook sebentar tadi yang turut memaklumkan bahawa Allahyarham meninggal dunia pada jam 5 petang.
"Dukacita dimaklumkan, bapa saya, (Datuk) Hj Jamry Sury telah meninggal dunia pada pukul 5 petang tadi (hari ini).
"Minta saudara-saudari sedekahkan al-Fatihah dan doakan supaya arwah tergolong dengan orang yang beriman dan amalannya semua diterima ALLAH SWT," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Allahyarham dilantik sebagai Pengarah JAIPk pada 20 Mei 2005 hingga 31 Disember 2008 menggantikan Datuk Zainal Abidin Omar.
Jamry, 66, juga pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Sultan Yussuf, Rapat Setia di sini pada jam 11 pagi esok sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!