Pemutihan gigi: KKM belum terima sebarang aduan
JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan belum mendapat sebarang aduan mengenai rawatan pemutihan gigi ditawarkan klinik pemutihan gigi yang dikhuatiri mendatangkan pelbagai risiko kesihatan kepada pelanggan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian bagaimanapun akan menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut.
“Belum lagi (terima) apa-apa maklumat dan aduan tentang rawatan pemutihan gigi di klinik pergigian yang membahayakan kesihatan itu.
“Namun dengan terpaparnya di muka depan (sebuah akhbar), kita akan dapatkan pegawai-pegawai kita untuk menyiasat,” katanya pada sidang media di Hospital Permai di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan eksklusif sebuah akhbar berhubung kewujudan klinik pemutihan gigi haram yang berselindung sebagai pusat kecantikan gigi.
Menurutnya, sekiranya dakwaan kaedah pemutihan gigi di klinik terbabit berbahaya kepada umum, pihak kementerian iaitu Biro Farmaseutikal Kebangsaan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan kewujudan klinik pemutihan gigi haram berselindung sebagai pusat kecantikan gigi yang dikesan kian berleluasa sehingga dikhuatiri mengundang pelbagai risiko kesihatan kepada pelanggan.
Akhbar tersebut melaporkan di Lembah Klang sahaja sekurang-kurangnya lima pusat kecantikan dikenal pasti menawarkan khidmat pemutihan gigi sejak enam bulan lalu, yang dipercayai tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
Lima premis pusat kecantikan yang diwujudkan serentak itu didapati menawarkan rawatan pemutihan gigi melalui kaedah photocatalyst yang menggabungkan tindak balas gel pemutih dengan diod pancaran cahaya (LED).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!