Dua tahun bersengkang mata tadah air
SANGLANG - Kira-kira 400 penduduk di Kampung Pida 11 Lama, Jalan Sanglang-Kodiang di sini terpaksa bersengkang mata untuk menadah air bersih seawal pagi bagi kegunaan harian mereka.
Seorang penduduk, Zamri Zakaria, 43 berkata, masalah bekalan air yang berlaku sejak 2018 itu menyebabkan mereka terpaksa bangun sekitar jam 3 pagi setiap hari untuk menadah air.
Katanya, air yang dihantar oleh lori Syarikat Air Darul Aman ( Sada ) tidak mencukupi selain jadual penghantaran air juga tidak tetap.
"Waktu siang langsung tiada air dari paip rumah, jadi kami terpaksa bergantung dengan air yang ditadah atau yang dihantar oleh lori Sada.
"Ada juga orang kampung yang terpaksa menggunakan air hujan untuk mandi dan membasuh pakaian," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, dia juga telah memanjangkan masalah berkenaan kepada Sada dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini, tetapi masalah berkenaan tidak juga selesai.
"Masa Dr Salmee Said (ADUN Kota Siputeh) turun buat tinjauan tahun lalu, bekalan air kembali normal tetapi ia cuma bertahan beberapa hari," katanya.
Tibah Ibrahim,68, pula berkata, masalah bekalan air itu turut menjejaskan kesihatannya apabila tidak cukup rehat kerana kerap berjaga pada waktu malam.
"Kadang-kadang saya dah bangun pukul 2 pagi, tapi air tak ada lagi, jadi bangun semula jam 3 pagi. Saya tak pandai nak telefon Sada suruh hantar air kalau depa tak mai isi, tak ada la air nak guna.
"Dulu saya pasang pam elektrik juga untuk pam air masuk ke rumah, tapi air tak ada juga pam pun sudah rosak sekarang ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mashitah Abu Bakar, 42 berkata, masalah bekalan air yang berpanjangan ini memberi masalah kepadanya untuk menguruskan rutin harian keluarga.
"Semua kerja rumah tergendala kena tunggu ada air baru boleh buat, itu pun terpaksa hadkan penggunaannya.
"Pakaian kami anak beranak memang saya basuh di dobi layan diri, air untuk minum dan memasak pun saya terpaksa keluar duit untuk beli air mineral di kedai,"katanya.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat Sada ketika dihubungi berkata, gangguan bekalan di kampung berkenaan adalah disebabkan oleh kawasan-kawasan tersebut berada di penghujung sistem agihan bekalan air.
Katanya, situasi bekalan air di kawasan tersebut adalah bertekanan rendah pada siang hari (bertekanan rendah pada luar waktu puncak) dan akan berlaku masalah terputus bekalan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan seperti kebocoran dan gangguan operasi loji rawatan air.
"Selain itu, kawasan tersebut menerima bekalan air terawat melalui Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang yang diagihkan melalui Tangki Imbangan Bukit Mengkuang.
"Sehingga kini, pihak Sada sentiasa memantau situasi bekalan air di kawasan sekitar dan akan membuat penghantaran bekalan air melalui lori tangki sekiranya mendapat permintaan daripada pengguna," katanya.
Tambahnya, penyelesaian bagi jangka masa panjang untuk mengatasi serta menstabilkan bekalan air di kawasan tersebut adalah dengan projek menaiktaraf Lori Rawatan Air (LRA) Pelubang dari 227 juta liter sehari (mld) kepada 454 mld yang dijadualkan siap pada tahun 2023.
"Ia dijangka dapat memberi penyelesaian kepada pengguna di sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!