Tragedi bayi dibuang seperti sampah

No Image Caption
A
A
A

Rakyat Malaysia pada Ahad lalu dikejutkan dengan kes bayi lelaki masih bernyawa dan bertali pusat yang ditemui berlumuran darah di atas bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Ipoh, Perak.

Menurut laporan akhbar, bayi itu dicampak oleh seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dari tingkap biliknya yang terletak di tingkat dua pada ketinggian kira-kira sembilan meter.

Kes itu hampir sama dengan insiden seorang pembantu kedai berusia 18 tahun yang tergamak mencampak bayi perempuannya yang baru dilahirkan dari tingkat empat rumah flat di Georgetown, Pulau Pinang pada Mei lalu.

Bayi itu yang disumbat dalam sebuah beg juga ditemui masih bernyawa.

Kes terbaharu buang bayi itu membuktikan masalah sosial berkenaan tidak pernah selesai di negara ini.

Malah, data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia menunjukkan setiap tiga hari, akan ada seorang bayi dibuang sama ada dijumpai mati atau hidup.

Berdasarkan statistik oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak PDRM, terdapat sebanyak 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 135 kes dalam tempoh lima tahun itu diikuti Sabah (67 kes), Johor dan Kuala Lumpur (62 kes), Kedah (42 kes), Perak (35 kes) dan Pahang (33 kes).

Artikel Berkaitan:

Analisis ke atas statistik itu mendapati individu yang membuang bayi atau janin sering menjadikan kawasan perumahan sebagai lokasi melakukan kegiatan itu.

Statistik

Selain itu, suspek didapati gemar membuang bayi atau janin di dalam tandas (74 kes), pusat pembuangan sampah (51 kes), masjid dan surau (44 kes), loji, longkang dan pusat kumbahan (44 kes), tepi kedai dan bangunan (33 kes), tepi jalan (28 kes) dan semak (23).

Isu pembuangan bayi pada zaman moden ini dikatakan sukar diselesaikan sepenuhnya memandangkan ia adalah masalah sosial yang berkait rapat dengan pelbagai faktor berkait.

Antaranya, pertambahan jumlah penduduk, penghijrahan belia dari desa ke bandar besar, longgarnya ikatan kekeluargaan dan pegangan agama dan bermacam-macam lagi.

Walaupun ia sesuatu yang menyayat hati dan dianggap tidak berperikemanusiaan, tetapi itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Ia melambangkan si pelaku seolah-olah tidak ada akal dan perasaan apatah lagi sifat kasih sayang.

Insiden terbaharu itu juga menggambarkan seolah-olah zaman jahiliah sebelum kemunculan Islam kira-kira 1,500 tahun lalu telah berulang kembali.

Kerendahan jiwa manusia pada zaman jahiliah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu dan bimbang akan jatuh miskin.

Perihal membunuh anak tidak berdosa ini dirangkaikan oleh al-Quran dalam Surah al-Takwir dengan peristiwa-peristiwa besar kiamat yang akan terjadi seperti kehancuran matahari, bintang-bintang berguguran, gunung-ganang menjadi debu dan lautan menggelegak kepanasan.

Bersamaan dengan semua itulah, al-Quran bertanya: “Kerana dosa apakah anak perempuan itu ditanam hidup-hidup?”

Adat kejam itu diceritakan al-Quran sebagai merakamkan keburukan zaman jahiliah.

Pada zaman itu jugalah Islam datang menyelamatkan masyarakat Arab daripada penyakit sosial itu sekali gus mengangkat martabat manusia secara keseluruhan.

Kata kuncinya ialah iman dan ilmu. Dengan kata lain, iman dan ilmu adalah senjata paling ampuh dalam menghadapi kemelut sosial, tanpa mengecilkan peranan masyarakat dalam mencegah kemungkaran yang berlaku di depan mata.

Istilah jaga tepi kain orang yang memberi konotasi negatif nampaknya tidak terpakai dalam hal ini.

Masyarakat harus lebih peka dengan masalah sosial golongan remaja dan bersikap lebih proaktif serta tidak takut menegur dan mencegah gejala buruk ini.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!