Penaja masih setia
Musim 2020 menjadi tahun paling sukar buat semua sektor termasuk industri sukan selepas dikejutkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini.
Di Malaysia, kerajaan sedang berusaha keras untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu demi kesejahteraan rakyat.
Namun, di sebalik keberkesanan pelaksanaan PKP dalam membanteras penularan pandemik tersebut, seluruh sektor industri terus berdepan masalah kewangan kritikal dan sukan bola sepak tidak terkecuali daripada situasi tersebut.
Namun, ia masih tidak menghalang salah satu penaja untuk meneruskan penajaan demi menyokong industri bola sepak tempatan di tengah-tengah situasi sukar Covid-19.
Menurut satu sumber dalaman yang enggan dikenali, satu mesyuarat berhubung keputusan sama ada ingin meneruskan penajaan dalam arena bola sepak tempatan mulai musim depan telah diadakan baru-baru ini.
Jelas sumber tersebut, mereka secara dasar bersetuju untuk meneruskan penajaan tetapi akan berlaku pemotongan antara 10 hingga 20 peratus berbanding jumlah tajaan yang diberikan pada tahun ini.
“Ia (pemotongan jumlah penajaan) diambil kira berdasarkan ekonomi semasa sepanjang pandemik Covid-19 ini.
“Keputusan untuk meneruskan penajaan adalah berdasarkan komitmen kepada bola sepak tempatan dan demi negara di mana bola sepak adalah sukan nombor satu di Malaysia.
“Kami mengambil kira semua aspek. Jika diikutkan pada bulan lalu, saya akui ada pihak yang tidak mahu meneruskan penajaan bagi musim 2021 kerana masalah ekonomi yang melanda.
“Namun, selepas mengambil kira semua segi dan kepentingan bola sepak tempatan, penaja memutuskan untuk meneruskan penajaan ini kerana ia bukan sahaja mengenai wang sebaliknya bagi perjuangan memartabatkan bola sepak negara.
“Kami akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam tempoh terdekat berhubung keputusan ini dan diharapkan mereka akan memahami mengapa berlaku pemotongan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pada 10 Februari lalu, MFL menandatangani perjanjian penajaan selama dua tahun dengan syarikat perbankan terkemuka, CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) yang menyaksikan CIMB menjadi penaja utama saingan liga elit tempatan - Liga Super dan juga perlawanan pembuka tirai, Piala Sumbangsih.
Syarikat telekomunikasi gergasi negara, Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi subsidiarinya, TM Multimedia (TMM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pula memeterai perjanjian penajaan tiga tahun Liga Malaysia (Liga-M).
Kerjasama itu meliputi hak penyiaran eksklusif dan mudah alih serta dalam talian bagi Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia pada semua platform unifi TV termasuk menjadi penaja utama Piala Malaysia.
Dalam pada itu, Shopee menjadi penaja saingan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut. Selain Shopee, Air Asia, Nike dan 100PLUS turut menjadi rakan penaja bagi kempen Liga-M.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!