Polis buka kertas siasatan terhadap 'mak cik gelang pink'
IPOH - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes wanita memakai gelang pengesanan kuarantin koronavirus (Covid-19) yang makan di sebuah restoran dan gambarnya tular di media sosial, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang memperuntukan hukuman penjara selama enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, wanita berusia 72 tahun itu turut disiasat mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas kesalahan tidak mematuhi perintah sah dikeluarkan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Kita menjalankan siasatan awal berkaitan kes ini dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah dan berjaya mengenal pasti wanita terlibat.
"Kejadian ini berlaku di sebuah kedai makan di kawasan Meru Raya. Satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Polis Balai Jelapang dan siasatan berhubung kes ini sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Katanya, wanita itu baru sahaja pulang dari luar negara dan diarahkan menjalani perintah kuarantin wajib selama 14 hari bermula 4 sehingga 17 Julai.
"Tempoh kuarantin diberi bagi membendung penularan wabak Covid-19 kerana kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Sewajarnya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, polis sentiasa menjalankan pemantauan ketat ke atas setiap pesakit di bawah pengawasan (PUS) dengan melakukan rondaan dan pemeriksaan ke setiap rumah bagi memastikan perintah kuarantin yang dikuatkuasakan dipatuhi dengan baik.
"Hanya kes melibatkan perjalanan pulang warganegara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke rumah sahaja yang mungkin timbulkan masalah kerana ada antara mereka singgah makan dan minum semasa dalam perjalanan balik, itu yang mencetuskan ketidakselesaan kepada rakyat lain di lokasi," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kejadian makan di restoran itu berlaku pada 6 Julai lalu ketika wanita berkenaan bersama keluarga tiba dari Selangor untuk sarapan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya.
Dia tiba di KLIA pada 4 Julai dan saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati, wanita tersebut positif Covid-19 dan telah dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu untuk jalani rawatan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita 'gelang pink' dirawat di hospital
Tular makcik gelang ‘pink’: Restoran lakukan sanitasi
JKN Perak siasat individu PUS langgar kuarantin Covid-19
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!