Anggota JPJ menyamar penumpang bas
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menempatkan anggotanya dengan menyamar sebagai penumpang bas pada musim perayaan Aidiladha sebagai usaha memastikan pemandu dan syarikat bas mematuhi peraturan ditetapkan.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, pihaknya akan menempatkan beberapa anggota dalam bas bagi memantau kelakuan pemandu dan kesalahan yang dilakukan oleh mereka.
"Operasi penyamaran ini giat diteruskan supaya mereka (pemandu dan syarikat bas) sentiasa peka dengan keselamatan penumpang dan tidak melakukan kesalahan," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Penguatkuasaan Bas Ekspres selepas Plaza Tol Gombak di sini, malam tadi.
Operasi bermula jam 8 malam itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, dalam operasi tersebut enam anggota JPJ telah melakukan penyamaran dan hasilnya tiga saman dikeluarkan terhadap pemandu dan syarikat bas kerana memandu terlalu lama di lorong kanan serta gagal menyelenggara buku log.
Katanya, pemeriksaan lanjut juga telah menahan dua penumpang lelaki berusia lingkungan 30-an kerana positif dadah jenis methamphetamine.
"Selain itu, dua warga Bangladesh dan Myanmar berusia 40 tahun turut ditahan atas kesalahan imigresen," katanya.
Tambahnya, selain itu, pihaknya turut memeriksa sebanyak 83 kenderaan dan 13 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!