Kongsi kisah sejarah pejuang untuk semarak semangat patriotik

Penduduk Kampung Gajah, Hasbullah Tajuddin, 50, menunjukkan replika rumah Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak baru-baru ini. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Gajah, Hasbullah Tajuddin, 50, menunjukkan replika rumah Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR SALAK - Penentangan penduduk tempatan terhadap penjajahan dan sistem Residen British sebagai usaha mempertahankan tanah air perlu dijadikan inspirasi dan disemai dalam jiwa semua rakyat Malaysia.

Seorang penduduk Kampung Gajah dekat sini, Hasbullah Tajuddin, 50, berkata, walaupun nenek moyangnya tidak terlibat dengan sejarah penentangan terhadap Residen British yang tidak menghormati dan campur tangan dalam urusan adat istiadat Melayu dan agama Islam, namun beliau sentiasa memastikan anak-anaknya celik sejarah dan kisah para pejuang tanah air.

Hasbullah yang pernah menjadi pemandu pelancong pada tahun 2000 dan kini menjalankan perniagaan kedai makan di hadapan Kompleks Sejarah Pasir Salak (KSPS) berkata, beliau sering berkongsi kisah sejarah negeri Perak kepada pelanggan dan pengunjung ke kompleks berkenaan.

“Saya banyak mendengar daripada orang tua (kisah sejarah) dan ilmu yang saya ada, akan diceritakan kepada enam anak-anak saya, supaya mereka tahu pengorbanan orang terdahulu dan membina jati diri, " katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Penentangan terhadap Residen Inggeris pertama di Perak iaitu J.W.W Birch atau nama sebenarnya James Wheeler Woodford Birch, diketuai Datuk Maharaja Lela dengan dibantu Si Puntum, berlaku hampir dua abad lalu, namun kejadian itu tetap kukuh dalam lipatan sejarah negara.

Menurut Hasbullah, kebanyakan waris Datuk Maharaja Lela dan pengikutnya termasuk Si Puntum atau Sepuntum telah berpindah ke bandar untuk bekerja namun sesekali pulang untuk menziarahi kampung itu dan ada juga pulang bagi melakukan kajian mengenai sejarah Pasir Salak.

Selain itu, Hasbullah berkata, beliau juga sering menunjukkan kepada pengunjung kubur Birch yang dibunuh pada 2 November 1875 berhampiran tebing Sungai Perak, iaitu terletak tidak jauh dari KSPS selain kubur Si Puntum yang bertindak menetak kepala Birch.

Hasil bantuan penduduk kampung, Bernama menghubungi waris kepada Sepuntum iaitu Mazlan Adnan, 51, yang kini menetap di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mazlan, arwah bapanya Adnan Baharom sering menceritakan mengenai kisah perjuangan Sepuntum kepadanya yang didengar daripada nenek moyang mereka.

Mazlan yang kini mempunyai empat anak berusia 12 hingga 23 tahun berkata, beliau akan melakukan perkara sama terhadap anak-anaknya supaya mereka sedar bahawa mereka adalah pewaris kepada pejuang bangsa dan agama bagi terus menyemai semangat patriotisme dalam jiwa mereka.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim berkata, banyak pihak terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar Insitut Pengajian Tinggi (IPT), badan awam dan swasta mengunjungi KSPS untuk menjalankan kajian, penyelidikan dan penggambaran dokumentari sejak penubuhannya secara berperingkat pada 1990.

Beliau berkata, peringkat awal pembangunan KSPS telah dirasmikan oleh pemangku Sultan Perak Raja Dr Nazrin Shah (ketika itu) pada 26 Mei 1990 dan dirasmikan sepenuhnya oleh Almarhum Sultan Azlan Shah pada 5 Julai 2004 apabila keseluruhan fasa pembangunan disiapkan menjelang tahun 2000.

"KSPS merupakan rakaman penting sejarah terbilang kebangkitan rakyat Perak menentang penjajahan British yang dipelopori oleh pejuang-pejuang Melayu terdiri daripada Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Imam Perang Ngah Jabor, Pandak Indut, Si Tuah, Sepuntum, Kulup Ali dan ramai lagi," katanya.

Katanya, KSPS bukan sahaja mempamerkan artifak sejarah dan budaya negeri Perak malah bangunan, tugu serta monumen juga merupakan tarikan utama kepada pengunjung seperti Rumah Kutai, Pentas Belotah, Menara Pandang, Tugu Peringatan Pahlawan Perak, Kubur Si Puntum, Tugu Meriam Lela Rentaka, Tugu Peringatan Birch dan tempat Birch dibunuh.

Katanya, kisah kebangkitan dan perjuangan menentang penjajah Inggeris juga diceritakan dalam Terowong Sejarah Pasir Salak yang mengisahkan kronologi sejarah bertemakan 'Bumi Pahlawan Melayu' selain menempatkan 180 bilah keris dari gugusan Kepulauan Melayu Nusantara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!