Masa depan politik Azmin dalam bahaya

Azmin Ali dan Isham Jalil
Azmin Ali dan Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Masa depan politik Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada dalam bahaya kerana dilihat kurang mempercayai pimpinan UMNO dan Pas.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, dakwaan itu susulan tindakan Ahli Parlimen Gombak itu mengadakan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) baru-baru ini tanpa wakil rakyat dari Perikatan Nasional, sebaliknya hanya menjemput Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH).

"Dia nampaknya bermasalah dengan semua orang. Azmin perlu berusaha memperbaiki hubungannya dengan UMNO dan Pas serta melupakan untuk mendapatkan kembali sokongan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kapal itu sudah belayar.

"Pengundi Cina tidak akan memilih Azmin dan rakan-rakannya yang berhijrah daripada Pakatan Harapan, pada pilihan raya akan datang. Saya rasa dia ada masalah besar ketika ini,” katanya seperti dalam laporan portal Free Malaysia Today.

Dalam pada itu, bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO Selangor lebih suka bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah perjanjian Muafakat Nasional dengan Pas berikutan tiada perjanjian formal antara Perikatan Nasional.

“Retorik negatif seperti ‘UMNO tidak popular, UMNO parti yang kalah’ seperti diucapkan pemimpin Bersatu tidak membantu memperbaiki hubungan dan hanya memburukkan lagi keadaan.

"Tidak ada sokongan akar umbi untuk Bersatu dan kemenangan 13 kerusi pada PRU lalu hanya kerana undi Melayu terbahagi antara UMNO dan Pas.

“Kali ini, ia tidak lagi akan memiliki kelebihan ini. Orang Cina tidak akan memilih PPBM lagi dan kumpulan kecil orang Melayu yang juga penyokong tegar PKR akan meninggalkannya. Jika Bersatu tidak bekerjasama dengan Umno, ia akan bermasalah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang Melayu hanya memerlukan UMNO dan Pas untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

“Jika ahli Bersatu tidak menyukai UMNO, mereka boleh menyertai Pas. Ini jika mereka betul-betul peduli dengan perpaduan Melayu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!