Sidang DUN Melaka kecoh isu elaun, basikal MSN

Sesi soal jawab persidangan DUN Melaka hari ini kecoh apabila persoalan mengenai elaun dan basikal MSN diutarakan ADUN pembangkang.
Sesi soal jawab persidangan DUN Melaka hari ini kecoh apabila persoalan mengenai elaun dan basikal MSN diutarakan ADUN pembangkang.
A
A
A

MELAKA - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini kecoh seketika apabila pertanyaan mengenai elaun Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) dan basikal milik MSN diutarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

Pertanyaan itu diajukan kepada Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Kerk Chee Yee (DAP-Ayer Keroh) bertanyakan dakwaan mengenai kenaikan elaun bulanan Pengerusi MSN sebanyak lima kali ganda yang dipegang oleh Mohd Rafiq.

Menurutnya, dakwaan kenaikan elaun lima kali ganda itu telah dihebohkan dan Exco itu perlu menjawab serta membuat penafian sekiranya ia tidak benar.

Mohd Rafiq (Bersatu-Paya Rumput) bagaimanapun tidak mengendahkan soalan terbabit menyebabkan beberapa ADUN pembangkang tidak berpuas hati.

"Saya minta kemukakan bukti, kalau tiada bukti saya malas nak layan," katanya ringkas semasa sesi soal jawab Persidangan Kedua, Penggal Ketiga DUN Melaka-ke 14 di sini hari ini.

Ghazale ketika menegur ahli-ahli dewan ketika sesi soal jawab persidangan DUN Melaka hari ini.
Ghazale ketika menegur ahli-ahli dewan ketika sesi soal jawab persidangan DUN Melaka hari ini.

Suasana kecoh tidak terhenti di situ apabila Low Chee Leong (DAP-Kota Laksmana) bangun dan mengajukan soalan mengenai tiga buah basikal milik MSN yang didakwa diambil oleh Mohd Rafiq.

Artikel Berkaitan:

Pertanyaan itu membuatkan beberapa ADUN bangun dan menganggap ia sebagai serangan peribadi sebelum turut dicelah oleh Muhammad Jailani Khamis (Bebas-Rembia).

"Saya bangun berdasarkan buku peraturan, sepatutnya tanya adakah basikal itu diambil dan bukannya bilakah basikal itu akan dipulangkan," katanya.

Timbalan Speaker DUN Melaka, Datuk Ghazale Muhamad kemudian meminta semua ADUN bertenang dan diam.

"Cuba seorang-seorang bangun, ini semua nak bangun siapa yang nak tanya soalan dan jawab soalan," katanya.

Beliau turut menegur ahli-ahli dewan agar tidak berprasangka buruk dengan membuat serangan peribadi selain mengikut peraturan yang ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!