Penumpang Wings Air mengamuk dengan parang
PONTIANAK - INDONESIA. Lapangan Terbang Rahadi Oesman, Ketapang di Kalimantan Barat semalam kecoh selepas seorang penumpang lelaki bersenjatakan parang mengamuk gara-gara tidak berpuas hati selepas dikenakan caj bagasi berlebihan.
Pengurus Lapangan Lapangan Terbang Rahadi Oesman, Suhardoyo berkata insiden itu berlaku akibat salah faham.
Katanya, lelaki berusia 23 tahun itu tidak sedar bahawa polisi bagasi kabin syarikat penerbangan Wings Air sudah berubah apabila mengenakan caj bagasi berlebihan untuk setiap kilogram.
Tambahnya, lelaki tersebut sepatutnya menaiki penerbangan terakhir Wings Air Pontianak-Bandung pada jam 3.55 petang semalam (waktu tempatan).
"Semasa mendaftar masuk, penumpang ini dikenakan caj bagasi berlebihan kerana membawa bagasi dengan berat 11 kilogram.
"Hari ini (semalam) polisi baharu baru diperkenalkan. Bukan Wings Air sahaja, tetapi polisi Lions Air turut berubah.
"Tetapi penumpang ini tidak boleh menerimanya, marah-marah dan mengamuk apabila diminta membayar caj lebihan bagasi," kata Suhardoyo.
Katanya lagi, lelaki itu kemudia bergegas keluar menuju ke kawasan parkir sebelum kembali semula dengan parang.
Pengawal keselamatan yang melihat insiden itu menutup pintu masuk ke kawasan kaunter pendaftaran bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Ketua Polis Ketapang, Yury Nurhidayat berkata suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan dan mengesahkan tiada mangsa cedera dalam kejadian tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!