Ejen kepada ‘nombor satu’ didakwa pujuk wakil rakyat Sabah sokong PN
KUALA LUMPUR - Salah seorang ahli Parlimen pembangkang mendakwa terdapat ejen didalangi individu ‘nombor satu’ yang cuba memujuk wakil rakyat Sabah untuk melompat parti atau menyokong Perikatan Nasional (PN).
Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) mendakwa, ejen tersebut memberi tekanan bagi memaksa pemimpin di negeri itu beralih sokongan dengan mengemukakan pelbagai tawaran.
“Semalam saya menemani sahabat saya Yang Berhormat Kota Belud (Isnaraissah Munirah Majilis) untuk membuat satu laporan polis.
“Ia berkenaan seorang individu yang telah berulang kali menghantar mesej WhatsApp kepada Yang Berhormat Kota Belud menawarkan tawaran-tawaran tertentu agar menukar sokongan kepada PN,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.
Mohd Azis turut membacakan mesej WhatsApp dalam bahasa Inggeris itu yang bermaksud: "Saya telah diarahkan oleh nombor satu untuk berhubung dengan anda. Boleh kita bercakap? Saya ada tawaran. YB, Sabah akan bertukar tangan. Jangan lepaskan peluang keemasan. Terima tawaran saya hari ini, saya di Kuala Lumpur".
Menurut Mohd Azis, beberapa wakil rakyat lain di Sabah juga menerima gangguan sedemikian, malah ada ejen yang datang ke rumah mereka pada jam 4 pagi.
“Siapakah yang dimaksudkan dengan nombor satu? Saya harap Menteri Dalam Negeri menyiasat perkara ini. Ini adalah satu bentuk gangguan dan percubaan membeli dan rasuah yang wajar dikenakan tindakan tegas oleh pihak yang berkuasa,” kata Mohd Azis.
Mohd Azis berkata, beberapa rakan di Sabah juga memaklumkan bahawa terdapat anggota polis yang turut diarahkan memujuk atau memberi tekanan berhubung perkara tersebut.
“Entah betul entah tidak Datuk Timbalan Yang Dipertua. Saya harap perkara ini tidak benar,” katanya.
Dakwaan Mohd Azis itu bagaimanapun mendapat bantahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) yang menyifatkan ia satu kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat.
“Kenyataan yang belum disahkan akan menyebabkan ' misleading'. Terlalu mengelirukan Dewan, tuduhan sangat liar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!