Pembantu perubatan didakwa tumbuk kepala isteri

Hafifi Fikri dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
Hafifi Fikri dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA - Seorang pembantu perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk kepala isterinya bulan lalu.

Tertuduh, Hafifi Fikri Jamal, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menumbuk kepala isterinya, Nadia Zaharah Azmi, 31, yang juga merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan di sini.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 7 petang di sebuah rumah di Taman Bertam Indah di sini pada 6 Mei lalu.

Difahamkan kejadian itu berpunca daripada salah faham selepas mangsa memanggil seorang juruteknik lelaki membaiki kipas dan lampu di rumah mereka tanpa pengetahuannya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak mencadangkan sebarang ikat jamin atas faktor keselamatan mangsa.

Hafifi Fikri yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan atas alasan perlu menjaga dua orang anak mereka yang masih kecil.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,600 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!