Tiada lagi musuh tanaman

Penduduk menunjukkan musuh tanaman yang dimusnahkan oleh Perhilitan.
Penduduk menunjukkan musuh tanaman yang dimusnahkan oleh Perhilitan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 1,000 penduduk sekitar Sungai Pasir lega apabila operasi memusnahkan musuh tanaman dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Kuala Muda berjaya memusnahkan tiga ekor babi hutan, semalam.

Sebelum ini, haiwan berkenaan dilaporkan berkeliaran di sekitar kawasan kampung sehingga menakutkan penduduk terutama wanita dan kanak-kanak.

Antara kawasan yang terancam termasuk Kampung Masjid, Kampung Bukit, Kampung Baru, Kampung Charuk Kelubi dan kawasan perumahan sekitar.

Penduduk, Halmi Abu Bakar, 48, berkata, mereka bukan sahaja berdepan risiko penemuan binatang itu pada waktu malam, malah turut terserempak pada waktu pagi melintas di hadapan rumah.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan kebimbangan terutama ketika meninggalkan golongan wanita dan kanak-kanak untuk keluar bekerja.

“Kita bimbang penduduk diserang haiwan itu yang ada kalanya muncul dalam jumlah yang banyak dalam satu-satu masa, bergerak secara berkumpulan termasuk dengan anak mereka berdasarkan bentuk dan saiz yang dilihat,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan anggota Perhilitan yang membuat tinjauan ke kampung terbabit sekaligus memburu haiwan berkenaan.

Nizam Zakaria, 52, berkata, selain berisiko menyerang orang awam, haiwan berkenaan juga dikhuatiri memusnahkan tanaman atau kebun penduduk termasuk berisiko mengganggu kawasan pagar tanah perkuburan Islam berdekatan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tak mau jadi benda bukan-bukan selepas ini, lagipun orang Islam perlu menjaga kesucian kawasan perumahan, perkuburan dan rumah ibadat agar tidak dicemari dengan kehadiran haiwan itu,” katanya.

Rodzi Saidin, 59, berkata, pencerobohan babi hutan ke kawasan perkampungan perlulah diberi perhatian serius kerana kebanyakan penduduk beragama Islam.

Menurutnya, usaha Perhilitan melakukan operasi amat baik sekali dan diharapkan ia dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan aspek keselamatan penduduk termasuk nyawa, harta benda dan tanaman dapat dipelihara.

“Terima kasih banyak-banyak, dan kalau boleh minta depa mai periksa lebih kerap sebab babi hutan ni dok ada banyak lagi, mungkin dengan cara ni dapat menakutkan haiwan ini dari mendekati penduduk,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!