Bola sepak Asia dijangka pulih berperingkat
INDUSTRI bola sepak negara di Asia yang terkesan ekoran impak wabak Covid-19 dijangka pulih secara berperingkat dalam jangka masa satu atau dua tahun.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jangkaan itu bersandarkan kepada senario terkini bahawa rantaian Covid-19 belum putus sepenuhnya.
“Industri bola sepak khususnya Asia akan berdepan beberapa cabaran utama yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini terutama dalam menjamin keselamatan dan kesihatan 47 negara Asia demi kelangsungan sukan ini.
“Apapun anjakan kehidupan ke arah normal baharu sememangnya perlu kita lalui, mahu atau tidak demi keselamatan serta kesihatan semua juga kelangsungan industri bola sepak dalam menempuh cabaran yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) secara maya hari ini yang kali terakhir diadakan di Hong Kong pada Disember lalu.
Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, mesyuarat itu penting dalam mencapai kata sepakat dalam hala tuju bola sepak Asia dan persiapan menjelang Piala Asia 2023 yang tertangguh sebelum ini akibat Covid-19 dan dijangka bermula semula Oktober depan.
Mesyuarat alam maya itu dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa itu turut membincangkan mengenai pentadbiran, kewangan dan perundangan AFC.
"Susulan wabak Covid-19, AFC memberi sokongan penuh kepada ahli gabungan terutamanya negara-negara yang terjejas teruk dari sudut kewangan menerusi kempen tanggungjawab sosial yang mampu menaikkan semangat negara yang terkesan terutama masyarakat.
"Situasi ini adalah sesuatu di luar jangkaan yang mana semua pihak perlu memikul tanggungjawab bersama serta paling penting muafakat dan saling menyokong antara satu sama lain dalam membendung krisis ini bersama," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!