Cadang pencen veteran tentera diselaraskan
KUALA LUMPUR - M Karupaiya (PH-Padang serai) mencadangkan kerajaan menyelaraskan pemberian pencen kepada veteran tentera yang menamatkan perkhidmatan sebelum dan selepas 2013.
Menurut beliau, jumlah pencen yang diterima bagi kedua-dua tempoh itu adalah jauh berbeza.
“Saya melihat perkara ini sebagai double standard. Ramai pesara yang pencen sebelum 2013 amat kecewa.
“Bekas-bekas tentera telah dimasukkan ke dalam kategori B40.
“B40 Yang Dipertua, malu kita,” katanya ketika membahasakan usul menjunjung kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.
Sementara itu bagi veteran tentera yang tidak berpencen, Karupaiya mengesyorkan supaya kerajaan memberi sagu hati atau elaun khas sebanyak RM1,000 setiap enam bulan.
Menurutnya, pemberian tersebut bagi menghargai jasa veteran tentera yang telah berkorban masa dan tenaga demi negara.
“Saya berharap Kementerian Pertahanan dapat mengambil serius dalam perkara ini,” ujarnya.
Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) kemudian bertanya sama ada Karupaiya bersetuju sekiranya kerajaan memberi keutamaan kepada veteran tentera mendapatkan peluang perniagaan.
“Saya amat bersetuju, inilah jiwa sebagai seorang rakyat Malaysia. Saya masukkan dalam ucapan saya sekali,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!