Lawan Leicester umpama aksi final
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City Ahad ini umpama aksi final yang akan menjadi penentu The Red Devils mencuri slot Liga Juara-Juara musim depan.
Justeru, Solskjaer akan memastikan anak-anak buahnya cukup bersedia menjelang pertemuan di Stadium King Power nanti memandangkan Leicester turut mengintai peluang mara ke saingan tertinggi Eropah itu.
"Kami sudah mengharungi perlawanan seperti separuh akhir dalam beberapa perlawanan sebelum ini, sekarang adalah masa untuk kami beraksi di final (apabila menentang Leicester).
"Untuk menang, kami perlu meningkatkan tahap persembahan dan Leicester menjadi halangan terakhir. Jika kami berjaya menang, ia sesuatu yang amat menakjubkan kerana semua orang tahu kami memulakan musim ini dengan persembahan kurang meyakinkan.
"Kami sedar menentang Leicester bukanlah mudah dan mereka sangat berbahaya dalam beberapa aspek. Secara taktikalnya, kami akan lebih bersiap sedia untuk menghadapi mereka," katanya.
Terdahulu, United gagal memanfaatkan peluang untuk mengesahkan kemaraan ke Liga Juara-Juara lebih awal selepas sekadar seri 1-1 ketika menentang West Ham di Old Trafford awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan United berada di kedudukan ketiga liga apabila berkongsi 63 mata dengan Chelsea, namun kedua-dua pasukan dibezakan jumlah jaringan.
Untuk mara ke Liga Juara-Juara, The Red Devils memerlukan hanya keputusan seri bertemu Leicester dan jika kalah, United perlu mengharapkan Chelsea tewas kepada Wolverhampton Wanderers.
United juga masih berpeluang mara ke saingan Liga Juara-Juara musim depan jika muncul juara Liga Europa yang mana mereka kini sudah menjejakkan kaki di peringkat suku akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!