Lautan jadi mainan kuasa politik

A
A
A

Laut China Selatan kembali bergolak. Terbaru, Amerika Syarikat melaung keperkasaannya kepada China dengan mengajak negara sekutunya, Australia dan Jepun, mengadakan latihan ketenteraan. Setiausaha Pertahanan Amerika, Mark Esper sebelum itu memberi amaran keras akan meningkatkan cabarannya kepada China berhubung penguasaan di Laut China Selatan.

Penulis sudah lama menyorot pergolakan di Laut China Selatan yang menjadi ‘tuan rumah’ kepada China, Brunei, Kemboja, Indonesia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Malaysia. Ia jadi rebutan rentetan wujud dakwaan hasil sumber alamnya dianggarkan mengandungi gas asli melebihi 190 trilion kaki padu dan minyak mentah melebihi 11 bilion tong sebagaimana laporan The South China Sea Energy Exploration and Development Team dan Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika. Kajian Geologi Amerika pula mendakwa kemungkinan wujud tambahan lagi 160 trilion kaki padu gas asli dan 12 bilion tong minyak mentah di lautan berkenaan.

Lautan seluas 3.5 juta kilometer persegi itu awalnya digelar The China Sea oleh pedagang Portugis. Namun, bertukar menjadi The South China Sea. Laut China Selatan ialah salah satu kawasan paling hangat dituntut China, Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei, Taiwan dan Indonesia. Penulis sebenarnya mengagumi kehebatan China menguasai teknologi penandaan seawal 1940-an. Beijing menyatakan Laut China Selatan sebagai Garis-Putus Sembilan (GPS-9) sebagaimana dakwaan jurutera geografi, Yang Huairen.

Apa sekalipun dakwaan Beijing, kewujudan laut diperakui al-Quran yang menyebut perihalnya sebanyak 32 kali berbanding 13 kali tentang darat. ALLAH SWT mengingatkan manusia agar sentiasa peka kepada ciptaan-Nya sebagaimana disebut dalam Surah An-Nahl [16:14] bermaksud: “Dan Dia-lah, ALLAH yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan) dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai dan kamu melihat bahtera berlayar padanya dan supaya kamu mencari (keuntungan) daripada kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur.”

Strategik

Laut China Selatan mempunyai kepentingan strategik luar biasa. Satu pertiga pengiriman barangan dunia harus merentasinya membawa lebih daripada AS$3 trilion (RM12 trilion) barang setiap tahun. Ia mempunyai khazanah perikanan yang sangat menguntungkan. Rizab minyak dan gas asli di dasarnya dipercayai paling besar di dunia.

Pada 2015, Sosok.id, portal berita dalam talian menyebut Beijing mula meningkatkan cita-citanya untuk menguasai Laut China Selatan dengan membangunkan pulau buatan di terumbu dan benteng di wilayah tersebut. Beijing dari masa ke masa sentiasa melakukan operasi ketenteraan udara.

Pakar persempadanan dunia mendedahkan betapa Beijing telah membuat armada pengawal pantai dan kapal nelayan China yang telah dikerahkan ke Laut China Selatan untuk mengganggu kapal pengangkut negara lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam draf edisi terbaharu digubal pada 1986, International Hydrographic Organization (IHO) menyatakan Laut Natuna sehingga batas selatan Laut China Selatan dialihkan ke utara manakala Kepulauan Bangka Belitung ke utara dan timur laut Kepulauan Natuna menyebabkan Jakarta bingkas berang mengancam Beijing. Indonesia bertindak balas menukar nama Laut China Selatan kepada Laut Natuna Selatan.

Mungkin ada pihak kurang bersetuju dengan penulis yang mahu mencadangkan nama baharu Laut China Selatan. Penulis merasakan nama baharu yang paling sesuai ialah Laut Asia Tenggara kerana majoriti negara Asia Tenggara bersempadanan dengan Laut China Selatan.

Dalam hal ini, penulis ingin bertanya adakah Malaysia akan terus berdiam diri dengan kekalutan di Laut China Selatan? Dengan teknologi kecerdasan buatan atau Artifical Intelligence Technology (AI), Malaysia boleh menjaga perairan yang bersempadanan dengan GPS-9 daripada kes pencabulan kedaulatan kawasan Malaysia.

* Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!