Persatuan farmasi sokong arahan wajibkan pelitup muka

Amrahi Buang
Amrahi Buang
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) menyambut baik usaha kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum bermula 1 Ogos ini.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, kajian membuktikan penggunaan alat perlindungan itu membantu mencegah penularan penyakit berjangkit seperti wabak Covid-19.

"Bagaimanapun penggunaan pelitup muka yang mempunyai ciri keselamatan dan mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP), Kementerian Kesihatan disyorkan bagi melindungi orang yang sihat daripada penyakit atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain.

"Ini kerana kebanyakan yang ada di pasaran sekarang diragui kualitinya memandangkan kita tidak dapat mengenal pasti dari mana pelitup muka itu diimport. Jadi menjadi tugas pihak PBPP untuk memantau perkara ini agar pengguna tidak tertipu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Amrahi berkata, permintaan terhadap pelitup muka dijangka meningkat dua kali ganda ekoran arahan berkenaan kerana orang ramai khuatir akan berdepan tindakan denda sekiranya gagal berbuat demikian.

"Namun mereka diminta tidak membuat pembelian panik seperti sebelum ini kerana kita yakin stok bekalan pelitup muka masih banyak di pasaran," katanya.

Menurutnya, pemakaian pelitup muka tidak mencukupi untuk membendung penularan jangkitan Covid-19, sebaliknya perlu disertakan dengan penjarakan sosial, amalan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta langkah kesihatan awam lain yang sepatutnya diterapkan dalam kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!