Sindiket penyeludupan migran di Johor tumpas
JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran susulan penangkapan 11 tekong dan dua penghantar 'transporter' menerusi lima operasi yang dijalankan di Kota Tinggi, Seri Alam dan Iskandar Puteri pada 19 Julai hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 79 migran turut ditahan terdiri daripada 58 warga Indonesia termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun dan 21 warga Bangladesh.
Katanya, Sungai Rengit di Kota Tinggi menjadi transit kepada sindiket penyeludupan migran sebelum pulang ke Indonesia susulan tangkapan enam tekong dan 16 migran berusia 21 hingga 45 tahun pada 19 Julai lalu.
"Homestay di Kampung Sungai Tiram turut dijadikan rumah penampungan kepada migran oleh sindiket. Modus operandi sindiket ini dikesan susulan tangkapan empat tekong dan lapan migran Indonesia berusia 20 hingga 45 tahun pada 20 Julai lalu.
"Pada hari yang sama juga, 26 migran Indonesia termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun sembilan bulan ditahan di Kampung Mawai Indonesia. Seorang lelaki bertaraf penduduk tetap berusia 53 tahun yang bertindak sebagai transporter turut ditahan" katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.
Menurut Ayob Khan, seramai 21 migran warga Bangladesh yang menaiki bas dalam keadaan mencurigakan ditahan semasa sekatan jalan raya Ops Benteng di Lebuhraya Pelabuhan Tanjung Pelepas, Tanjung Kupang pada 21 Julai lalu.
Katanya, pemandu bas seorang lelaki warga tempatan dipercayai berperanan sebagai 'transporter' turut ditahan.
"Lapan migran warga Indonesia ditahan di Kampung Tanjung Adang pada 21 Julai lalu. Kesemua mereka ingin pulang ke Indonesia menggunakan jalan tidak sah telah dikenakan bayaran RM 1,300 seorang," katanya.
Jelasnya lagi, hasil dari kesemua serbuan dijalankan, polis berjaya merampas tiga bot pancung, lima enjin bot, 28 telefon bimbit, sebuah motosikal dan sebuah bas serta wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah RM8,049.
"Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 26A Atipsom 2007, Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E(2) Akta Imigresen," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!