Wajib solat Jumaat dengan patuhi SOP ditetapkan JAIS
SHAH ALAM - Umat Islam di Selangor wajib mendirikan solat Jumaat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan kehadiran mengikut kapasiti sebenar jemaah di setiap masjid atau Surau Kebenaran Jumaat.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, umat Islam yang memenuhi syarat mendirikan solat Jumaat perlu berusaha untuk hadir ke masjid dengan menggunakan kaedah ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Beliau berkata, mereka yang mendapat pengesahan kehadiran adalah wajib untuk hadir menunaikan kewajipan masing-masing.
"Oleh itu, berdosalah sekiranya dengan sengaja tidak hadir tanpa sebarang uzur syarie atau dengan sengaja memberi pengesahan tersebut kepada orang lain.
"Sekiranya terdapat keuzuran, maka hendaklah dikembalikan pengesahan kehadiran tersebut kepada pihak masjid atau Surau Kebenaran Jumaat untuk diisi jemaah lain yang menunggu giliran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Tamyes berkata, bagi masjid atau Surau Kebenaran Jumaat di kawasan yang jemaahnya tidak melebihi jumlah maksimum, maka ahli kariah yang telah memenuhi syarat mendirikan solat Jumaat wajib untuk mengikutinya.
"Pihak masjid dan Surau Kebenaran Jumaat juga hendaklah memastikan maklumat pendaftaran kehadiran solat Jumaat sampai kepada semua kariah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!