Bina 288 rumah penjawat awam Negeri Sembilan: MB
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan membina 288 unit rumah di kawasan Seremban khusus untuk penjawat awam di negeri ini dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerjasama antara Kerajaan Negeri Sembilan dan pihak swasta itu adalah sebagai usaha memberikan peluang memiliki rumah pertama mampu milik kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah.
"Rumah yang akan dibina ini nanti daripada jenis A, B dan C yang akan diumumkan kemudian susulan masih dalam perbincangan akhir.
"Bagaimanapun secara dasarnya, kerajaan negeri tidak ada masalah untuk kita laksana projek ini dan telah mengambil kira pelbagai aspek," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, semalam.
Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan pemaju perumahan untuk membina perumahan mampu milik ataupun projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.
"Setakat ini kita telah mengenal pasti 11 tapak tersebut yang melibatkan 2,700 unit rumah dan telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi penelitian lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!