Malaysian Tigers akur ke Dhaka tanpa aksi pemanas badan

Roelant Oltmans
Roelant Oltmans
A
A
A

Semua negara termasuk skuad Malaysian Tigers terpaksa melangkah ke Piala Juara-Juara Asia di Dhaka, November ini, tanpa mengadakan sebarang perlawanan persahabatan antarabangsa terlebih dahulu akibat ketidaktentuan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Oleh kerana pandemik Covid-19 terus menggugat beberapa acara sukan utama di seluruh dunia, ketua jurulatih kebangsaan Roelant Oltmans berkata, untuk mengatur pertandingan persahabatan antarabangsa dalam situasi semasa adalah suatu perkara yang paling sukar.

Katanya, pasukan perlu mendapatkan persetujuan kerajaan untuk ke luar negara disebabkan oleh sekatan perjalanan, di samping perlu mematuhi arahan sekatan pergerakan masuk dan keluar di beberapa buah negara, yang juga melibatkan individu dari atau berhampiran dengan negara yang ada jangkitan Covid-19.

"Kami sudah berbincang tentang kesukaran untuk menyertai mana-mana kejohanan. Anda boleh bayangkan betapa sukarnya untuk pergi ke negara lain atau menjemput negara luar mengadakan perlawanan persahabatan dengan kami dalam situasi Covid-19 sekarang.

"Jadi semua perkara seperti itu harus jelas dan pada masa ini, ia masih belum jelas. Sudah tentu anda mahu mengadakan sejumlah perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum pergi menyertai kejohanan," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pasukan di Stadium Hoki Nasional, di sini.

Trofi Juara-Juara Asia adalah satu-satunya acara yang tinggal untuk tahun ini selepas Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh dibatalkan kerana penularan pandemik Covid-19.

Jurulatih berusia 66 tahun dari Belanda itu berkata dalam situasi sekarang tidak banyak yang dapat dilakukan pasukannya tetapi untuk terus menjalani latihan seperti biasa walaupun kecergasan dalam perlawanan adalah yang paling diperlukan oleh pasukan.

"Saya perlu katakan bahawa saya cukup berpuas hati dengan apa yang saya lihat, para pemain benar-benar berusaha untuk menerapkan apa yang dilatih dalam sesi latihan kebelakangan ini. Saya gembira melihatnya, ini suatu perkembangan yang positif," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika mengulas kemungkinan bekas ketua jurulatih Program Pembangunan Britain, Paul Revington menjadi pengarah teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang baharu, Oltmans berkata, beliau tidak pernah mendengar tentang perkara itu.

"Saya benar-benar tidak tahu apa-apa mengenainya, ia hanyalah spekulasi. Saya bukanlah orang yang suka membuat spekulasi," katanya.

Bekas pemain Afrika Selatan itu mempunyai latar belakang yang cukup mengagumkan kerana beliau pernah menjadi ketua jurulatih Ireland, Malaysia dan Afrika Selatan sepanjang kerjaya kejurulatihan antarabangsa selama 16 tahun.

Jawatan pengarah teknikal bukan hanya ditugaskan untuk memantau ketua jurulatih skuad wanita dan remaja lelaki tetapi juga bekerja sama dengan Jawatankuasa Pembangunan KHM mengenai Program Pembangunan Hoki Kebangsaan yang dipengerusikan oleh timbalan presiden Prof Dr S Shamala.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!