Pemandu peribadi Nazrin nampak tong minyak petrol dalam bekas putih

Saksi ketika ditemui di luar mahkamah.
Saksi ketika ditemui di luar mahkamah.
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi pendakwaan ke-28 pemandu peribadi kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, Muhammad Nabil Faqih memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini dia ada menemui tong minyak petrol dalam bekas plastik putih yang disimpan di perkarangan rumah majikannya itu beberapa hari selepas dia bekerja dengan Nazrin.

Muhammad Nabil memberitahu mahkamah lagi, dia yang mula bertugas pada 23 April 2018 hingga 13 Jun 2018 menggantikan seorang lagi pemandu dikenali sebagai Edree yang berhenti kerja.

Nabil memberitahu mahkamah, Edree sebelum ini juga pernah menggunakan bekas putih yang disimpan di kediaman Allahyarham Nazrin itu mempunyai barangan yang diisi peralatan untuk membasuh kereta seperti kain, baldi dan syampu.

Ketika disoal Pengarah Pendakwaan, Datuk Salim Soib@Hamid berhubung kematian majikannya itu, Muhammad Nabil memberitahu bagaimanapun Edree tidak memberitahunya terdapat tong minyak dalam bekas itu.

Datuk Salim: Kotak putih itu bila Encik Nabil jumpa?

Muhammad Nabil: Kotak putih itu dijumpai selepas beberapa hari di dalamnya ada tong minyak

Datuk Salim: Jika tunjuk boleh cam tak bekas putih berkenaan?

Muhammad Nabil: Boleh

Artikel Berkaitan:

Datuk Salim: Encik Nabil nampak jelas tak tong minyak dalam bekas putih itu?

Muhammad Nabil: Nampak ada tong minyak jenis aluminium

Datuk Salim: Sepanjang bekerja pernah Encik Nabil ambil dan gunakan tong minyak itu

Muhammad Nabil: Tidak

Datuk Salim: Kenapa tidak gunakan tong itu

Muhammad Nabil: Tiada keperluan untuk digunakan.

Dalam pada itu, Muhammad Nabil juga memberitahu mahkamah, sebelum kematian majikannya itu iaitu pada 14 Jun 2018 dia sempat bertemu Nazrin sehari sebelumnya iaitu pada 13 Jun lebih kurang 11 malam di kediaman majikannya.

Menurut Muhammad Nabil, ketika dia tiba di perkarangan rumah pada 13 Jun malam itu majikannya tiada di rumah dan melalui pesanan WhatsApp majikannya memberitahu keluar sebentar bersama isterinya Samirah menaiki Volvo X60.

Muhammad Nabil kemudian, menunggu di luar pagar kediaman majikannya dan selepas 40 minit kemudian majikannya dan isteri sampai di perkarangan rumah.

Nabil berkata lagi, ketika itu Nazrin dan isterinya tidak turun dari kereta yang dinaiki dan mereka walaupun sudah sampai di kediaman berkenaan.

Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14, didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, membunuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung 11 September depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!